fbpx
SABAHAGIAN selebriti yang mengenakan fabrik jarang pada VMA 2024.

Fabrik jarang jadi trend fesyen di VMA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Anugerah MTV Video Music Awards atau VMA merupakan antara anugerah paling dinanti-nantikan dalam industri muzik antarabangsa.

Berlangsung pada 11 September lalu di New York, Amerika Syarikat (AS), anugerah anjuran rancangan muzik televisyen, MTV dari AS itu kekal menjadi salah satu anugerah paling didambakan penggiat muzik sejak tahun 1984.

Selain menghargai penggiat muzik, acara karpet merah VMA juga adalah antara yang ditunggu-tunggu orang ramai, khususnya para peminat yang mahu melihat fesyen selebriti pujaan mereka.

Bagi tahun ini, busana bersifat sheer atau jarang menjadi trend di karpet merah dengan ramai selebriti wanita dan juga lelaki yang dilihat menggayakan pakaian jarang dengan cara tersendiri.

Anggota kumpulan k-pop Blackpink, Lisa Manoban tampil elegan menerusi dres labuh rona pastel rekaan Mugler.

Bahagian dada sehingga perut pakaian itu adalah daripada fabrik jarang selain diserikan dengan aksesori kepala menyerupai selendang rona sama.

Penyanyi, penulis lagu dan juga pelakon, Coco Jones pula tampil memukau dalam persalinan rona perak rekaan Lever Couture.

Fabrik jarang dan berkilau yang digayakan Jones menyerlah gaya elegan selebriti itu yang menggayakan kasut dan aksesori dari rona sama.

Penyanyi rap terkenal, Megan Thee Stallion yang juga merupakan hos acara itu memilih dres hitam dengan bahagian kakinya diperbuat daripada fabrik jarang, bersama kain kembang yang kelihatan seperti diikat di kakinya.

Selebriti lelaki yang menampilkan gaya baju jarang pula adalah penyanyi berusia 22 tahun, Benson Boone.

Boone memilih kemeja jarang rona hitam dengan perincian sulaman yang dipadan bersama seluar panjang rona sama untuk gaya senada.

Berkongsi cara menggayakan busana jarang, penata gaya dari Melbourne Australia, Lauren Di Bartolo menyifatkan fabrik jarang ini umpama sebiji kek.

“Saya melihat busana jarang ini umpama sebiji kek polos yang boleh dihias dan digayakan dengan apa jua cara yang disukai.

“Ada yang suka meletakkan pelbagai aksesori pada sehelai fabrik jarang, ada juga yang suka meletakkan lapisan tebal pada fabrik tersebut untuk menghilangkan kejarangannya, semuanya terpulang kepada cita rasa pemakai,” kongsinya seperti dipetik laman Fashion Journal.

Di Bartolo menambah, biarpun ringkas, fabrik jarang boleh memberikan impak besar kepada sehelai busana jika kena gayanya.

Dia juga berkata, fabrik jarang sesuai dilapiskan bersama apa jua fabrik yang lain daripada knitwear hingga sutera.

Selain itu, penggunaan rona dalam palet warna yang sama atau senada juga menjadikan busana jarang nampak lebih menyerlah.

Begitu pun, pengasas institut fesyen, Australian Style Institute itu juga mengingatkan bahawa penggayaan fabrik jarang ini juga haruslah sesuai dengan cuaca.

“Berhati-hati apabila memilih untuk melapis terlalu banyak fabrik.

“Sekiranya anda tinggal di negara beriklim panas, penggayaan terlalu banyak fabrik akan menjadikan anda tidak selesa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN