fbpx
Muhammad Amir Hakimi (kanan) bersama bapanya, Sabari (tengah) yang dilaporkan hilang sejak 4 September lalu.

‘Pulangkan ayah ke pangkuan kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Kehilangan seorang warga emas yang juga pesara Felcra menjadi semakin misteri apabila kereta Proton Waja yang digunakan lelaki itu ditemui dalam keadaan rentung di kawasan pembuangan sampah di Hutan Gubir di sini kelmarin.

Penemuan terbaru selepas kehilangan lelaki itu, Sabari Baharom, 62, sejak 4 September lalu meruntun hati anak-anaknya yang bimbang tentang keselamatan bapa mereka.

Menurut anaknya, Amir Hakimi Sabari, 25, dia sangat risau dengan keselamatan bapanya, kerana tiada petunjuk tentang keberadaannya sehingga kini.

“Namun, kami berharap dan terus berdoa agar ayah ditemui selamat. Tiada ayah di dalam kereta itu bermakna dia masih hidup dan ada juga kemungkinan ayah diculik,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Amir berkata, dia tidak tahu apa yang berlaku terhadap bapa­nya dan berharap sekiranya ada individu yang mengurung lelaki itu agar segera melepaskannya.

“Pulangkan ayah kepada kami,” ujarnya.

Jelasnya, pelbagai usaha te­lah dilakukan mereka termasuk mencari di merata tempat, meng­hubungi ahli keluarga lain serta rakan-rakan bapa.

“Kami termasuk rakan-rakan ayah melakukan solat hajat memohon kepada Allah agar ayah berada dalam keadaan selamat, permudahkan segala urusan pencarian dan pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat,” ujarnya.

Bercerita lanjut, katanya, kakaknya, Suraya Ezaty, 29, telah pergi ke Bank Islam di Lagenda Height, Sungai Petani untuk membuat semakan.

“Hasilnya, wang dalam akaun bank milik ayah sebanyak RM8,500 telah dipindahkan ke dalam satu akaun Maybank atas nama Loh Swee Mooi (wanita) pada 4 September kira-kira pukul 8 malam.

“Kami tidak pernah mengenai individu berkenaan. Hasil semakan lain mendapati terdapat beberapa kali cubaan mengeluarkan wang simpanan dalam akaun Tabung Haji melalui akaun Bank Islam ayah di sekitar Pulau Pinang seperti di Bayan Lepas, Nibong Tebal dan juga Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang bertarikh 6 September,” katanya.

PASUKAN polis, bomba menjalankan pemeriksaan terhadap Proton Waja yang ditemui di kawasan pembuangan sampah di Hutan Gubir, Baling kelmarin

Menurutnya, hasil pemeriksaan melalui aplikasi dalam talian mendapati pemindahan wang melalui mesin pengeluaran wang sebanyak kira-kira RM15,000 hingga RM16,000 (termasuk RM8,500) telah dilakukan beberapa kali.

Jelasnya, ia adalah melalui akaun Tabung Haji bapa yang dipindahkan ke akaun Bank Islam, seterusnya ke akaun ­Maybank yang tidak pasti penamanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Charan Ai Wan berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan Proton Waja dalam keadaan rentung oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sik pukul 9 pagi.

Katanya, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik dengan bantuan bomba turun ke kawasan gaung itu untuk membuat pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut terbakar keseluruhan dan hanya nombor casis kenderaan yang masih jelas kelihatan.

“Pemeriksaan nombor casis itu mendapati Proton Waja itu bersangkut dengan kes orang hilang yang dilaporkan baru-baru ini,” katanya semalam.

Menurutnya, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mengambil dua sampel sisa kebakaran.

Beliau berkata, individu yang dikaitkan dengan kereta itu adalah Sabari yang dilaporkan hilang sejak 4 September lalu dengan laporan kehilangan dibuat anaknya pada 7 September lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN