KUALA LUMPUR – Jaguh Ironman negara, Teh Kuok Yuen melakar sejarah baharu apabila berjaya merakam catatan masa bawah sembilan jam iaitu lapan jam 56 minit 42 saat pada Ironman Denmark di Copenhagen baru-baru ini.
Prestasi menakjubkan itu sekali gus menebus kekecewaannya gagal menamatkan perlumbaan (DNF) sewaktu Cabaran Taiwan pada April lalu.
Kuok Yuen, 37, mengakui dia sebenarnya merasakan dirinya kurang bersedia sebaik tiba di Copenhagen, namun tetap bersemangat dan yakin untuk menghadapi perlumbaan terakhirnya tahun ini.
“Sebaik tiba di Copenhagen, saya rasa kurang bersedia tetapi saya tetap berkeyakinan dan bertenaga untuk perlumbaan ini.
“Ironman adalah perlumbaan yang panjang dan dalam perlumbaan ini, saya memantau masa keseluruhan, terutama selepas renang, berbasikal, dan pada tanda 21 kilometer (km) larian,” katanya dalam satu temubual video bersama ArenaMalaysia Asia.
Kuok Yuen turut berkongsi pengalamannya pada 3km terakhir dalam saingan itu apabila menyedari bahawa masanya mungkin mencapai bawah sembilan jam setelah catatan pada ketika itu kurang daripada kebiasaan.
“Apabila saya melihat baki masa kira-kira 20 minit, barulah saya yakin akan berjaya. Saya menitiskan air mata kegembiraan pada ketika itu. Pada kilometer terakhir, apabila melihat tanda 41km, kira-kira 10 minit sebelum tamat, saya tahu saya benar-benar akan berjaya,” tambahnya.
Sementara itu, Kuok Yen turut mendedahkan pendekatan baharu diambil bagi menghadapi cabaran kali ini termasuk menilai semula latihan sebelum Copenhagen dan mengambil pendekatan lebih santai dengan mengurangkan jarak latihan agar tidak membebankan diri.
“Persiapan mental kali ini berbeza. Saya lebih tenang sepanjang perlumbaan. Dalam renang, adalah penting untuk tetap tenang, berada dalam kelompok yang baik dan tidak membuang tenaga. Kekal stabil dan ikut orang lain,” jelasnya.
Dalam masa sama, Kuok Yen tidak lupa menyatakan penghargaan terhadap sokongan tidak berbelah bahagi daripada orang-orang tersayang terutama isteri dan jurulatih.
“Perkara pertama yang saya fikirkan adalah isteri saya. Dia menyokong saya sepanjang tahun. Latihan sangat sukar dan saya tidak dapat melakukannya tanpa dia, jurulatih dan rakan-rakan yang sentiasa bersama saya,” ujarnya – KOSMO! ONLINE