fbpx
ISAACMAN (depan) menjadi orang awam pertama berjaya melakukan 'spacewalk' di ruang angkasa lepas.

Jutawan jadi orang awam pertama ‘berjalan’ di angkasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“TIDAK dinafikan masih banyak perkara yang perlu kita perbaiki, namun dari sini (angkasa), Bumi kelihatan seperti satu dunia yang sempurna.”

Itulah kata-kata jutawan teknologi, Jared Isaacman sebaik sahaja keluar dari kapal angkasa, SpaceX Dragon untuk memulakan aktiviti ‘spacewalk’ (berjalan angkasa).

Uniknya, lelaki berusia 41 tahun itu bukan seorang angkasawan, sekali gus menjadi orang awam pertama terapung di angkasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Shift4 Payments itu mengetuai misi tersebut dengan ditemani tiga pekerja SpaceX iaitu Scott Kidd Poteet, Sarah Gillis dan Anna Menon.

Aktiviti tersebut merupakan sebahagian daripada misi SpaceX Polaris Dawn hasil kerjasama Isaacman dengan Elon Musk.

Lebih menarik, lokasi yang dikunjungi mereka lebih tinggi dari kedudukan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dan Teleskop Angkasa Hubble.

Mereka melakukan ‘spacewalk’ pertama pada jarak 740 kilometer (km) dari Bumi.

Kapal angkasa mereka mencecah ketinggian puncak pada 1,408 kilometer sepanjang lima hari misi sebelum tiba di Bumi pada Ahad lalu.

Bahkan, satu-satunya misi yang pernah pergi lebih jauh dari ketinggian itu adalah Apollo 17 pada tahun 1972.

Menurut Isaacman, risiko melakukan penerbangan angkasa persendirian sememangnya wujud, namun ia perlu dilakukan demi ilmu yang akan diperolehi.

“Sudah tentu akan ada risiko yang kita perlu pertimbangkan sebelum berlepas ke angkasa memandangkan ia merupakan aktiviti ‘spacewalk’ pertama melibatkan orang awam.

“Namun, tumpuan sebenar adalah pada data dan hasil analisis yang kami peroleh.

“Kami sememangnya jumpa penemuan yang menarik,” ujarnya.

Untuk pengetahuan, Isaacman menjadi orang ke-264 melakukan ‘spacewalk’, manakala Sarah Gillis pula merupakan insan ke-265 dan paling muda.

‘Spacewalk’ merupakan keadaan di mana angkawasan terapung di angkasa sambil sut mereka ditambat pada kapal angkasa.

Namun, memandangkan Isaacman dan Gillis masih amatur, mereka tidak terapung bebas. Ini kerana, tangan mereka masih berpegang pada tangga khas di luar kapal angkasa selama 20 minit.

Sementara itu, Poteet dan Menon kekal di dalam kapal sambil memantau keadaan dan mengawal tambatan.

Memandangkan kapal angkasa Dragon tidak mempunyai ruang sendat udara seperti ISS, Poteet dan Menon perlu sentiasa memakai sut sepanjang tempoh aktiviti berkenaan.

Ini kerana, apabila pintu kapal angkasa tersebut dibuka, mereka terdedah kepada vakum angkasa yang tidak berudara, sekali gus menyukarkan pernafasan.

‘Spacewalk’ merupakan pengembaraan kali pertama Isaacman menggunakan pakej pelancongan angkasa Musk dengan sejumlah kos yang enggan dinyatakan.

“Kami tidak mahu perhatian diberikan kepada kos keseluruhan misi ini dan pada masa akan datang.

“Namun apa yang boleh saya cakap, saya dan Space X sama-sama melabur dalam menjayakan misi perjalanan angkasa komersial ini,” katanya.

Misi SpaceX Polaris Dawn mula diumumkan oleh Isaacman pada 2022 dan pelbagai persediaan rapi dilakukan bagi mengurangkan risiko kegagalan yang mungkin berlaku di angkasa.

Pemandangan Bumi dari SpaceX Dragon ketika di angkasa.

Kesemua teknologi baharu yang digunakan pada misi berkenaan telah menjalani pelbagai ujian untuk memastikan kualiti dan ketahanannya.

Para angkasawan amatur dibawa melawat pusat kemudahan ujian Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) untuk melihat sendiri ketahanan baju angkasawan.

Untuk membantu memastikan perjalanan berjalan lancar, semua kru kapal angkasa Dragon diletakkan di dalam ruang vakum yang besar.

Mereka perlu melalui simulasi pengosongan udara, sebelum berlatih mengisi semula kapsul dengan oksigen dan nitrogen.

Selain ‘spacewalk’, keempat-empat angkasawan amatur itu turut menjalani 40 eksperimen, termasuk mendapatkan imej resonans magnetik otak angkasawan.

Mereka juga mengambil imej sinar-X tanpa mesin dengan menggunakan pancaran sinaran semula jadi yang melalui angkasa lepas.

Bagi memastikan kajian tersebut dapat dijalankan, salah seorang angkasawan, Poteet menjalani pembedahan untuk menanam alat pengukur tekanan cecair di sekeliling otaknya.

Ia bertujuan melihat punca perubahan pada bola mata, saraf optik dan penglihatan kabur yang pernah dialami oleh beberapa angkasawan.

Antara kemungkinan yang mahu dilihat adalah potensi cecair dalam badan beralih ke atas apabila angkawasan terapung lalu meningkatkan tekanan di dalam tengkorak mereka.

Bagaimanapun, menurut Poteet, alat itu terpaksa dikeluarkan kerana ia tidak berfungsi dan mereka terpaksa melakukan kajian tanpa alat tersebut.

“Pembedahan tersebut atas tujuan kajian bagi melihat sama ada alat ini mampu membantu kami mendapat jawapan lebih tepat.

“Akhirnya, kami dapati bahawa ia tidak berfungsi seperti yang diinginkan dan alat tersebut dikeluarkan sebelum saya berlepas,” katanya.

SpaceX menganggap kejayaan mereka pada misi itu sebagai titik permulaan menguji teknologi pakaian angkasa untuk ke Marikh pada masa hadapan.

Seorang profesor astrofizik dan sains angkasa di Universiti Leicester, Martin Barstow menggelar misi itu sebagai satu penanda aras baharu dalam penerokaan angkasa lepas komersial.

Katanya, kejayaan tersebut membuktikan bahawa aktiviti melibatkan angkasa tidak lagi bergantung pada agensi-agensi kerajaan sahaja.

“Sekarang kita tidak lagi bergantung kepada NASA memandangkan jutawan seperti Musk dan Isaacman juga mampu menyumbang dalam bidang ini.

“Selain itu, ia membuktikan bahawa bukan angkawasan terlatih dan berpengalaman sahaja boleh melawat angkasa. Orang awam juga mampu sekiranya dilatih,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN