SEMPENA bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia, media sosial dilambakkan dengan pelbagai konten berkaitan sejarah penubuhan Tanah Melayu.
Lambakan konten sebegitu memang bagus untuk didedahkan kepada netizen khususnya generasi muda.
Namun sayangnya, ada sesetengah konten seperti melondehkan aib segelintir individu yang dilihat gagal menjawab soalan berkaitan sejarah Malaysia.
Paling mengecewakan, ada yang tidak tahu tarikh kemerdekaan, nama rasmi bendera Malaysia termasuk senarai perdana menteri.
Barangkali lupa atau panik tetapi secara logiknya, perkara sebegitu sudah diajar sejak di bangku sekolah, mana mungkin semudah itu dilupakan.
Perkara tersebut sekali gus meluncurkan rasa sedih melihat tahap pengetahuan am golongan muda yang seperti memandang enteng hal berkaitan sejarah negara.
Mungkin bagi mereka tidak penting tetapi janganlah dilupa, jika tidak mencapai kemerdekaan, kebebasan yang dimiliki hari ini tidak akan pernah wujud.
Seboleh-bolehnya, tidak mahu menambah lebih ramai rakyat Malaysia yang mengambil mudah tentang sejarah penubuhan Malaysia apatah lagi melupakan jasa dan pengorbanan tokoh kemerdekaan.
Perkara sama pernah disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu anak muda memahami sejarah negara sebagai usaha menyemarakkan semangat baharu untuk menebus maruah dan mengangkat martabat Malaysia.
“Ini tugas anak-anak muda yang ramai pada hari ini. Golongan muda harus tahu dan bangga dengan sejarah kita dengan menyemarakkan semangat yang ditanam (bahawa) negara ini merdeka,” katanya.
Baginya, erti kemerdekaan perlu dihayati setiap rakyat Malaysia khususnya generasi muda bagi mengenang semula jasa selain menjentik rasa syukur dengan keamanan dirasai hari ini.
“Merdeka untuk berdaulat, membela nasib rakyat dan meletakkan dasar tata kelola pemerintahan.
“Kemerdekaan yang dicapai juga bagi mewujudkan kenegaraan baik yang menentang kecurangan serta rasuah.
“Maknanya, segala pengetahuan asas berkaitan sejarah negara dalam kalangan generasi muda hari ini adalah untuk menyemarakkan semangat baharu,” tuturnya.
Sementara itu, pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad turut menitipkan harapan terhadap golongan muda agar mengambil peduli pengetahuan asas berkaitan sejarah negara.
Ujar Uyaina, golongan muda yang kurang ilmu tentang sejarah negara yang sudah diajar pada zaman persekolahan perlu sedar bahawa perkara tersebut memalukan diri sendiri.
“Sekarang semua sudah berada di hujung jari, jangan ego dan angkuh untuk ambil tahu tentang sejarah negara. Jangan sia-siakan apa yang kita belajar di sekolah begitu sahaja.
“Malu juga melihat wujud segelintir rakyat Malaysia yang tidak tahu perkara asas seperti jumlah negeri atau nama ibu negeri,” tuturnya.
Bagi menangani perkara ini sebelum menjadi semakin meruncing, Uyaina menggesa ibu bapa turut memainkan peranan dengan menerapkan rasa semangat dan cinta akan negara di rumah.
“Tidak salah kalau ibu bapa ‘curi’ sedikit masa untuk ajar anak-anak tentang sejarah tanah air. Semua itu ilmu asas, janganlah asyik disogok dengan cerita kurang berfaedah.
“Dalam hal ini, ibu bapa juga harus memainkan peranan penting agar generasi muda tidak hilang jati diri sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya.














