PENGGUNA aplikasi TikTok mungkin pernah melihat video seorang guru perempuan yang begitu rajin memuat naik sesi soal jawab berkenaan sirah nabi kepada sekumpulan muridnya.
Usai mengajar mengaji dan tajwid kepada 35 orang murid-muridnya yang datang ke rumah, Nurfaseha Tarmizi atau lebih mesra disapa Faseha, 33, akan memulakan sesi kuiz bersama mereka berkenaan kisah nabi-nabi dan Rasulullah serta para sahabat baginda.
Kanak-kanak berusia seawal tiga tahun sehingga 12 tahun begitu teruja untuk menjawab soalan-soalan yang diajukan Faseha.
Video-videonya yang ada antaranya meraih jutaan tontonan itu berjaya menuai pujian netizen yang rata-ratanya memuji usaha Faseha memastikan murid-muridnya mengenal nabi kita yang mulia.
“MasyaAllah bagusnya, pintar betul anak-anak ini,” komen seorang pengguna TikTok.
“Bagaimana ya jika saya mahu daftarkan anak saya di sini?” komen seorang lagi netizen yang menunjukkan minat terhadap kelas Faseha.
Antara soalan-soalannya seperti Rasulullah ada berapa mukjizat? Siapa sahabat Rasulullah yang menyebabkan Rasulullah menangis kerana kain kafannya tidak cukup dan siapa sahabat Rasulullah yang mempunyai kekuatan 1,000 orang antara yang turut mengujakan para netizen.
Ujar wanita berasal dari Gombak itu, dia mula menjadi guru atau tutor dengan mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran, tajwid dan subjek matematik sejak 2019.
“Ketika itu, jiran-jiran menghantar anak-anak mereka untuk ikuti kelas tuisyen dan mengaji di rumah saya.
“Saya juga bercerita mengenai sirah nabi, membetulkan tajwid serta bacaan dalam solat sebelum buat sesi kuiz tajwid dan sirah untuk menguji kefahaman mereka,” katanya kepada K2.
Faseha yang sebelum ini bekerja dalam bidang seni bina dan kejuruteraan selama 10 tahun kemudian membuat keputusan untuk berhenti kerja ketika pandemik Covid-19 melanda dunia bagi memberi fokus sepenuhnya mengajar bidang duniawi dan ukhrawi kepada murid-muridnya.

Bagi Faseha, Rasulullah SAW yang merupakan ikon dan ikutan terbaik dalam segenap aspek kehidupan semua manusia wajar dicontohi.
Berkongsi bagaimana dia terdetik untuk mula membuat kuiz berkenaan sirah kepada para pelajarnya, Faseha yang juga amat meminati sirah nabi berkata, dia seronok apabila melihat kanak-kanak turut sama berminat tentang sirah dan perjuangan nabi.
“Bagi saya penceritaan kisah nabi-nabi dan perjuangan para sahabat adalah sesi yang cukup disukai oleh murid-murid saya memandangkan mereka gemar mendengar cerita.
“Saya juga secara peribadinya amat menyukai sirah nabi dan saya melihat anak-anak muda kini terlalu banyak menghabiskan masa dengan gajet.
“Justeru, saya melihat platform media sosial ini sebagai sesuatu yang baik untuk mengalirkan ilmu, terutamanya berkenaan nabi dan Rasulullah yang semakin dilupakan,” katanya yang ketika ini sedang menyambung pengajian secara separuh masa dalam bidang pengajian al-Quran di Universiti Islam Antarabangsa.
Ujar Faseha, ini juga merupakan usahanya untuk memperkenalkan lagi nabi kita kepada kanak-kanak supaya mereka mengagumi Rasulullah dan bukannya karakter superhero dongeng.
Malah, kandungan video yang dimuat naik juga dibuat secara santai yang mana murid-murid akan duduk dan menunggu soalan diajukan Faseha, sebelum berebut-rebut untuk cuba memberikan jawapan yang betul.
Soalan seperti “Hawkeye, dia tiru daripada sirah nabi tentang pemanah tepat, siapa sahabat Rasulullah pemanah tepat? Hollywood buat Ironman dia tiru sirah nabi, nabi apa boleh lenturkan besi?” antara persoalannya yang dikaitkan dengan watak-watak adiwira cereka.
Perkongsian sebegini bukan saja memberi manfaat kepada pelajar Faseha, malah turut memberi ilmu kepada penonton yang juga mungkin tidak tahu atau terlupa tentang kisah nabi dan sahabat.
“Kisah dan sirah Nabi ini adalah sesuatu yang saya lihat penting untuk membina jati diri seseorang.
“Apabila didalami, kita akan melihat dan memahami semangat perjuangan Islam yang sebenar. Sebagai seorang guru dan tutor, saya mahu pelajar-pelajar saya mengagumi serta mengambil contoh daripada sirah Rasulullah yang merupakan individu cukup hebat,” katanya.
Faseha berkata, dia akan terus menggunakan platform TikTok miliknya @nurfasehatarmizi untuk berkongsi video-video sebegini sebagai memberi manfaat kepada orang ramai.
“Saya akan terus berkongsi kisah nabi yang semakin dilupakan ini menerusi platform yang ada sebelum semua ini dipadam oleh musuh Islam.
“Saya berhasrat menjadikan media sosial tempat mengalirkan ilmu dan berharap ilmu ini akan tetap terus mengalir walau saya sudah tiada dan akan terus memberi manfaat kepada ummah,” katanya.














