fbpx
NEGERI SEMBILAN mencatatkan jumlah kenderaan terbiar atau tersadai paling banyak diambil tindakan oleh PBT iaitu 98,247 kes dari 2021 hingga tahun lalu. – GAMBAR HIASAN

PBT, JPJ aktif ‘buru’, lupus kereta tersadai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pemilik yang sengaja membiarkan kenderaan mereka tersadai terutamanya di kawasan awam bakal berdepan dengan tindakan tegas termasuk dilucutkan hak bagi memboleh­kan kenderaan berkenaan dilupuskan.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberitahu, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MoT) bagi mengesan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas pemilik kenderaan terbabit.

Menurutnya, kerjasama itu juga turut melibatkan dua agensi iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memudah cara pelupusan kenderaan terbiar melalui penambahbaikan kepada proses pekeliling sedia ada.

“Melalui proses penambahbaikan itu, JPJ dan PBT akan dapat mempercepatkan proses pelucutan hak kenderaan terbiar sebelum proses seterusnya diambil

“Ini kerana, ia (setiap kenderaan yang mahu dilucut hak) mempunyai syarat, proses dan tempoh tertentu bagi memastikan pelucutan hakmilik kenderaan tersebut adalah sah dari sudut perundangan dan perlembagaan,” katanya dalam ke­nyataan kepada Kosmo!.

Dalam pada itu, KPKT memaklumkan Negeri Sembilan mencatatkan jumlah kenderan ­terbiar atau tersadai paling banyak dikenakan tindakan oleh PBT dari 2021 sehingga 2023 iaitu kira-kira 98,247 kes.

Daripada jumlah itu katanya, kira-kira 96,512 kompaun telah dikenakan serta melibatkan 1,454 notis, manakala 281 kenderaan telah disita atau ditunda pihak PBT.

Tambahnya, Sabah mencatatkan jumlah kende­raan terbiar kedua paling tinggi dikenakan tindakan bagi tempoh sama iaitu kira-kira 32,444 kes.

Diikuti Selangor iaitu sebanyak 32,043 kes, Johor (8,124), Pahang (3,986), Pulau Pinang (3,606), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (3,421) dan Perak (2,591).

Selain itu, kata KPKT, Sarawak pula mencatatkan sebanyak 763 kes kenderaan terbiar, manakala Kedah (712), Melaka (467), Terengganu (135), Kelantan (75) dan Perlis (54).

“Bagi tindakan sitaan atau penundaan pula, sebanyak 4,735 kenderaan telah diambil tindakan oleh PBT di Selangor, diikuti Johor (1,735), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1,679), Pulau Pinang (948) dan Pahang (929).

“Untuk tindakan perlupusan, PBT di Selangor telah melupuskan kira-kira 2,642 buah ken­deraan diikuti Kuala Lumpur (957), Pulau Pinang (803), Pahang (340) dan Johor (170),” katanya.
KPKT berkata, secara ke­seluruhan sepanjang tempoh tiga tahun itu, sebanyak 186,668 kes melibatkan kenderaan terbiar di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 135,727 kenderaan dikompaun, manakala 35,007 notis dikeluarkan PBT di negeri masing-masing.

“Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 10,884 kenderaan terbiar ini telah ditunda atau disita dan 5,050 buah telah dilupuskan oleh pihak PBT di setiap negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, KPKT memaklumkan bahawa semua tindakan yang telah diambil oleh pihak PBT ke atas kenderaan terbiar itu berdasarkan Pekeliling Ketua Setiausaha KPKT Bilangan 2 Tahun 2020 bertarikh 13 Feb­ruari 2020. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN