PUTRAJAYA – Satu sindiket pemalsuan dokumen yang bergiat aktif sejak awal tahun ini berjaya ditumpaskan dalam operasi khas Jabatan Imigresen (JIM) minggu lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kejayaan hasil intipan selama sebulan dengan sindiket itu menjadikan sebuah kediaman di ibu negara sebagai markas operasi.
“Seorang lelaki rakyat Pakistan bernama Azhar yang menjadi dalang utama turut ditahan dalam operasi dibuat pada 5 dan 6 September lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Kata Ruslin, pihaknya mengerakkan pasukan ke USJ 1, Subang Jaya sebelum berjaya menahan seorang lelaki warga Pakistan dan seorang wanita warga India dalam sebuah kereta jenis Honda City.
Hasil pemeriksaan kenderaan tersebut, pasukan operasi menemui sejumlah 20 keping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dipercayai palsu.
“Berdasarkan soal siasat, serbuan kedua dilakukan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada keesokan dan menahan sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki Azhar. Kita juga menemui 30 keping pelekat PLKS 16 serta naskhah pasport dari pelbagai negara dipercayai palsu di rumah suspek di Jalan Desa Bakti” ujarnya.
Modus operandi sindiket itu katanya, menawarkan perkhidmatan berkaitan kemudahan imigresen seperti cap keselamatan, PLKS, pas khas dan juga lesen memandu Pakistan.
“Mereka sasar warga asing dari negara sumber di Lembah Klang yang tiada dokumen perjalanan untuk menetap di negara ini dengan cara menggunakan media sosial,” katanya.
Pelanggan pula kata Ruslin, dikenakan kadar bayaran tertentu daripada serendah RM100 untuk cap keselamatan imigresen sehingga RM1,000 untuk caj perkhidmatan pas khas.
Jelasnya, ketiga-tiga suspek berusia antara 44 tahun sehingga 50 tahun telah ditahan di Depot JIM Bukit Jalil, Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE