fbpx

Kepala terkoyak dicakar beruang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Che Mohamed (kanan) dan Siti Jamilah menunjukkan gambar Muhamad Zaki yang cedera diserang beruang ketika ditemui pemberita di Hospital Gua Musang malam tadi. FOTO AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Seorang lelaki parah selepas diserang seekor beruang ketika keluar memikat burung di kawasan kebun di Kampung Dalam Senduk, Jerek di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, kepala mangsa, Muhamad Zaki Che Mohamed, 33, terkoyak selain kaki, betis dan matanya luka akibat dicakar haiwan tersebut.

Menurut bapa lelaki itu, Che Mohamed Konok, 70, dia mengetahui mengenai kejadian menimpa anak kelima daripada sembilan adik-beradik itu ketika berada di kedai kopi.

Katanya, Muhamad Zaki menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Jerek di sini sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang oleh penduduk kampung.

“Dia kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kira-kira pukul 3 pagi tadi untuk rawatan lanjut.

“Saya melihat keadaan kepala dan kakinya terkoyak sehingga berlumuran darah. Dia masih sedar, namun tidak dapat bercakap,” katanya ketika ditemui pemberita Hospital Gua Musang di sini malam tadi.

Che Mohamed memberitahu, anaknya yang masih bujang itu keluar rumah untuk memikat burung di kawasan kebun sebelum diserang haiwan tersebut.

Menurutnya, Muhamad Zaki mahir dengan selok-belok di kawasan hutan dan kebun kerana biasa melakukan kerja kampung termasuk mengutip buah langsat.

Adik perempuan mangsa, Siti Jamilah Che Mohamed, 22, pula berkata, abangnya itu yang berjaya menyelamatkan diri selepas diserang beruang dijumpai oleh rakan dan penduduk kampung.

“Kami tidak pernah mendengar cerita ada beruang masuk ke kawasan kampung ini. Saya terkejut apabila seorang penduduk kampung telah datang ke rumah kami di Kampung Jerek mengatakan abang sudah pengsan akibat diserang beruang,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan kejadian berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI