SUASANA sesebuah kediaman memainkan peranan dalam menentukan tahap keselesaan yang bakal dirasai penghuni rumah sekeluarga.
Oleh itu, pemilik sesebuah kediaman perlu memastikan setiap sudut di teratak mereka itu mencerminkan keperibadian atau pilihan mereka.
Namun, bagi pasangan suami isteri yang memiliki cita rasa berbeza, kreativiti diperlukan bagi memastikan hasil gabungan idea dapat direalisasi.
Begitulah cerita pasangan Siti Puteri Zubaidah Ismail serta suaminya, Abdul Razak dalam menentukan tatahias terbaik untuk rumah mereka.
Menurut Siti Puteri Zubaidah, dekorasi kediaman teres dua tingkat mereka di Rawang, Selangor itu menggunakan konsep Mid Century black and wood.
“Saya sukakan sesuatu yang tampak selesa, klasik dan berunsurkan kayu, manakala suami pula sukakan dekorasi berwarna hitam.
“Jadi saya gabungkan kedua-duanya. Pada saya gabungan rona kayu dengan hitam memberikan unsur ketenangan dan eksklusif,” katanya.
Reka bentuk Mid Century dicirikan oleh garisan bersih, minimalis serta gabungan bentuk organik dan geometri.
Gaya ini menggabungkan warna alam semula jadi seperti kayu dan pokok dengan elemen-elemen lain. Jika diteliti, dinding kediaman berkeluasan 1,300 kaki persegi (120.774 meter persegi) itu dicat dengan warna putih dan hitam mengikut sudut.
Ruang pintu masuk dicat dengan warna hitam dan digabungkan dengan almari serta kerusi berwarna kayu.

Penggunaan sofa dan permaidani berwarna kelabu berserta meja kopi hitam menaikkan seri ruang tamu.
Pada ruang makan pula, kerusi berwarna kayu dan hitam diselaraskan dengan lampu candelier bercirikan serupa.
Tidak berakhir di situ sahaja, dapurnya turut dipengaruhi warna hitam pada bahagian kayu sementara bahagian marmar pula berwarna putih.
Mengulas mengenai inspirasi, wanita berusia 36 tahun itu akui merujuk idea daripada Pinterest dan hotel-hotel yang pernah diduduki.
“Selain dari Pinterest, saya mengambil inspirasi dekorasi daripada beberapa buah hotel yang pernah saya menginap.
“Saya juga mengambil idea daripada kafe-kafe walaupun sudah lama saya singgah,” katanya.
Untuk pengetahuan, Siti Puteri Zubaidah mengabadikan semua kisah tentang rumahnya di Instagram miliknya, myowncosyhome.
Tambah wanita itu lagi, tatahias rumahnya dilakukan secara berperingkat sejak mendiami rumah tersebut pada 2023.
Katanya, ini bermaksud dia tidak memerlukan modal yang banyak dalam satu-satu masa.
“Dari segi kos, ia berbeza-beza bergantung pada ruang. Saya masuk rumah ni pada tahun lepas.
“Saya melakukan dekorasi secara perlahan-lahan sehingga sekarang masih ada juga impian dekorasi yang belum tercapai sebenarnya,” katanya.














