GUA MUSANG – Sebanyak 4,000 batang kayu balak pelbagai saiz dan spesies yang dianggarkan bernilai kira-kira RM400,000 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan di sebuah kilang kayu di Kawasan Perindustrian di sini semalam.
Serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu dijalankan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan hasil risikan bersama Jabatan Perhutanan Gua Musang.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisoner Ahmad Radzi Hussain berkata, seorang wanita berusia 55 tahun yang dipercayai pemilik kilang berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, pemeriksaan di premis berkenaan menjumpai sebanyak 4,000 batang kayu balak pelbagai spesies yang disyaki tidak melalui pemeriksaan sah oleh pihak berkuasa.
“Semakan lanjut Unit Industri Berasas Kayu, Jabatan Perhutanan Gua Musang mengesahkan kayu tersebut tidak mempunyai cop tukul dan dipercayai tidak melalui pemeriksaan Pegawai Perhutanan.
“Kilang kayu itu dipercayai disewa daripada sebuah syarikat dengan kadar sewaan RM13,500 sebulan. Kayu-kayu yang telah siap diproses akan dihantar kepada sebuah syarikat pembekal kayu dan bahan binaan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, risikan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan pembalakan haram kerana operasi kilang kayu tidak bercukai mendatangkan kerugian kepada negara. – KOSMO! ONLINE














