GEORGE TOWN – Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal dengan pendirian untuk tidak ‘mengusik’ wang caruman mereka meskipun tempoh ahli membuat pindahan ke Akaun Fleksibel akan berakhir esok.
Mereka yang terdiri daripada pekerja sektor swasta itu masih mahu mempertahankan amaun sedia ada walaupun berdepan pelbagai kekangan terutama berkaitan kos sara hidup.
Bagi seorang eksekutif sebuah syarikat swasta, Imran Hilmy Tawfik Hilmy, 46, berkata, wang caruman KWSP akan dijadikan sebagai simpanan hari tua bagi menampung kos perbelanjaan bulanannya ketika usia mencecah 60 tahun.
Akuinya, dia nekad untuk tidak memindahkan wang ke Akaun Fleksibel yang dikuatkuasakan sejak 12 Mei lalu dan akan membiarkannya sehingga mencapai tempoh matang.
“Hanya caruman KWSP yang ada ketika ini selain wang simpanan yang akan digunakan apabila kecemasan atau kesempitan wang.
“Duit KWSP diibaratkan seperti wang ‘mati’, sebagai persiapan bila hari tua nanti. Kita tak selamanya akan bekerja dan apabila sampai satu masa, saya juga akan berhenti kerja.
“Jadi, kali ini saya berkeras untuk tidak pindahkan wang caruman ke Akaun Fleksibel dan keluarkan sebagai keperluan utama. Cukuplah setakat pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar susulan pandemik Covid-19,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Sementara itu, seorang lagi pekerja swasta, Izzati Mohamad, 35, berpendapat, dia tidak akan sesekali membuat pengeluaran mahupun memindahkan wang caruman KWSP kepada Akaun 3 walaupun hanya berbaki kurang beberapa hari lagi.
“Walau apa terjadi, saya nekad tak mahu keluarkan. Walaupun berdepan dengan kekangan kewangan sekalipun saya tetap tidak akan usik simpanan caruman ini. Biarlah ia (wang) menyorok untuk seketika.
“Kita tak tahu apa yang akan terjadi di kemudian hari. Nak harapkan wang simpanan hasil gaji, memang tak boleh nak jangka memandangkan keadaan ekonomi dan cara hidup ketika ini. Ada sahaja perkara yang memerlukan pengeluaran wang dibuat,” ujarnya.
Di Sungai Petani, seorang penjawat awam, Farihah Md. Zain, 34, yang memilih sistem saraan penjawat awam berasaskan caruman KWSP berkata, dia masih belum bercadang untuk mengeluarkan simpanan KWSP dalam tempoh terdekat.
Kata beliau, simpanan tersebut sememangnya telah dikhaskan untuk keperluan selepas berpencen nanti memandangkan dia tidak memilih skim pencen sedia ada.
“Sejak dari awal perkhidmatan lagi saya sudah sasar untuk jadikan KWSP sebagai simpanan hari tua saya.
“Buat masa ini tiada keperluan lagi untuk saya keluarkan simpanan KWSP tersebut, jadi saya rasa lebih baik kekalkan saja wang tersebut dalam akaun sedia ada,” ujarnya.
Di Ipoh, seorang kakitangan swasta, Mohd. Yassin Zamri, 38, berkata, dia tidak sanggup mengeluarkan wang KWSP kerana dikhuatiri ia akan digunakan untuk perkara yang tidak berfaedah.
Dia menjelaskan, ramai dalam kalangan rakannya yang mengeluarkan wang simpanan tersebut dan menggunakan untuk perkara-perkara lain seperti hiburan ataupun melancong.
“Tidak dinafikan ada yang mengeluarkan wang tersebut kerana terdesak ekoran menanggung pelbagai hutang, namun wujud juga kelompok yang menggunakannya kerana mahu berhibur.
“Saya secara peribadi ada terfikir beberapa kali mahu mengeluarkannya, namun akhirnya memilih untuk menahan diri demi masa hadapan,” katanya yang enggan memindahkan wang ke Akaun Fleksibel dari Akaun 2.
Mohd. Yassin menegaskan, terlalu banyak contoh di sekelilingnya terutamanya golongan pesara swasta yang tidak mempunyai simpanan mencukupi selepas bersara.
Pada Mei lalu, media melaporkan pelaksanaan penstrukturan semula akaun ahli KWSP di bawah umur 55 tahun melibatkan Akaun Fleksibel.
Caruman baharu yang diterima selepas tarikh kuat kuasa akan dikreditkan ke dalam akaun mengikut nisbah 75:15:10 iaitu Akaun Persaraan (75 peratus), Akaun Sejahtera (15 peratus) dan Akaun Fleksibel (10 peratus). -KOSMO! ONLINE














