KAMPAR – Seorang pengusaha itik telur, Muhd Azim Hizal Hila Ludin, 31, di Mambang Diawan di sini berkata, perniagaan telur itik bersama produk lain yang diusahanya berjaya meraih pendapatan kasar RM21,000 sebulan.
Katanya, selain telur itik, dia juga menjual kaya dan ayam daging.
“Telur itik dapat banyak permintaan daripada pengusaha bakeri dan baulu kerana menjadikan produk akhirnya lebih sedap, gebu dan tahan lama.
“Selain itu, telur itik lebih berkhasiat berbanding telur ayam, cuma harganya mahal sedikit kerana saiznya lebih besar dan keras,” katanya yang merupakan seorang pemegang Ijazah Perniagaan Antarabangsa dan Pengurusan, Universiti Murdoch, Perth, Australia di sini semalam.
Dia mendakwa, itik lebih suka cuaca panas berbanding lembap untuk bertelur.
Ujarnya yang mengusahakan lebih 800 ekor haiwan itu, sekiranya kerap hujan hasil telur itik menyusut sehingga 50 peratus.
“Bila cuaca panas, itik boleh menghasilkan sehingga 700 biji telur, namun sekiranya hujan beberapa hari, pengeluaran telur menyusut sekitar 300 biji.
“Memang itik gemar kolam tetapi untuk untuk menyejukkan diri, tetapi haiwan ini gemar cuaca panas dan tempat yang kering untuk bertelur,” katanya.















