SEMBAH tahniah buat Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan suami, FD Idzham FD Iskandar yang sah bergelar suami isteri dalam istiadat akad nikah di Istana Abdulaziz, baru-baru ini.
Sama cantik, sama padan, Tengku Puteri Raja dan FD Idzham kini melalui satu lagi fasa kehidupan yang sangat didambakan kebanyakan manusia iaitu perkahwinan.
Tentang perkahwinan, ia adalah perjalanan yang kompleks, ikrar sehidup semati dan pada masa sama, menjanjikan kebahagiaan selari waktu bergulir.
Tertarik dengan satu perkongsian video temu bual usahawan yang juga suami kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Datuk Khalid Mohamad Jiwa tentang adat dan lumrah berumah tangga.
Menjadi impian semua pasangan untuk melayari bahtera perkahwinan dengan jayanya dan diberikan kesempatan untuk melihat anak-anak membesar dan seterusnya dikurniakan usia yang panjang melihat mereka ke jenjang pelamin.
Hasrat itu disuarakan Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin ketika menghadiri Istiadat persandingan Tengku Puteri Raja dan suami.
“Sambil tengok (persandingan), sambil kepala berfikir. Semoga diberi kesempatan melihat anak-anak nanti naik pelamin. Semoga mereka ditemukan jodoh yang baik,” luah Siti, 45.
Tentang apa yang dinukilkan pada peranggan keempat, Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk K pernah meluahkan kebimbangan tidak berkesempatan untuk melihat anak-anaknya membesar memandangkan usia semakin lanjut.
Masakan tidak, beza atau jurang usia antara Siti dan Khalid, 65, adalah 23 tahun namun berpeganglah kepada sifir kehidupan bahawa ajal, maut dan jodoh semuanya urusan Dia yang di atas.
“Pada saya, menjangkau usia yang melebih 60 tahun dan Siti baru 40-an. Untuk melihat (mereka) berjaya atau membesar, kemungkinannya adalah agak kecil.
“Apa yang saya harapkan, anak-anak nanti akan bersama ibunya (Siti) mengharungi masa depan bersama-sama nanti,” ujar Khalid.
Fast forward hari ini, Khalid dan Siti mempunyai dua orang anak, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa yang kian membesar dan semakin mempelajari apa itu erti kehidupan.
Erti kehidupan bahawa menjadi impian setiap manusia untuk berpasangan-pasangan, mengungkapkan akad nikah, melahirkan zuriat sendiri dan kalau ada usia yang cukup, melihat anak membesar dan naik ke jenjang pelamin mendakap bahagia.
Kitaran yang ditulis pada perenggan di atas semoga dapat dirasai dan dilunaskan sebelum bergerak ke alam seterusnya. Wallahualam.














