MENANG atau kalah itu adat pertandingan. Apa yang pasti, semua sudah mencuba buat yang terbaik sepanjang perlawanan berlangsung.
Para penyokong diharapkan menjaga tingkah laku dan kelakuan semasa Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Cheras malam ini.
Seolah-olah menjadi kebiasaan, kita sering dihidang dengan berita kurang enak yang mana penyokong bola sepak ‘liat’ patuh akan arahan pihak berkuasa dan bertindak ganas sama ada sebelum, semasa dan selepas perlawanan.
Namun, kali ini penulis berharap moga ada keajaiban agar keadaan di stadium kekal tenang sampailah ke penghujungnya meskipun arena bola sepak dihencap dengan pelbagai kontroversi.
Sebagai penyokong setia, usah normalisasi baling suar, objek atau bawa masuk apa-apa barangan berbahaya sekitar stadium sekali gus mencetuskan kekecohan yang menyusahkan ramai pihak.
Sampai bilakah arena bola sepak negara akan terus disajikan dengan insiden ‘ganas’ atau samseng disebabkan para penyokong yang hilang pedoman diri?
Aksi berbahaya sedemikian harus dihentikan agar masyarakat dapat menikmati suasana bola sepak yang lebih meriah dan harmoni.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa menasihati penyokong bagi aksi final Piala FA antara JDT dan Selangor FC supaya tidak membawa masuk 17 bahan terlarang ke dalam stadium.
Rusdi berkata, lebih kurang 85,000 penonton dijangka hadir menyaksikan acara yang penuh gemilang ini.
Bagi mengawal ketat keselamatan serta lalu lintas sebelum, semasa dan selepas perlawanan di sekitar stadium, seramai 2,488 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikerahkan untuk bertugas di lokasi ditetapkan.
“Pemeriksaan akan dilakukan sebelum pintu masuk dan juga selepas memasuki stadium seterusnya petugas akan memeriksa badan mahupun beg yang dibawa penonton bagi mengelakkan 17 bahan terlarang dibawa masuk ke stadium.
“Antara bahan terlarang yang ditegah dibawa masuk ke dalam stadium adalah mercun, bunga api, topi keledar, laser, objek tajam, senjata, dadah, alkohol, payung dan tongkat.
“Seterusnya, powerbank, botol air, ais ketul, pemetik api, rokok, rokok elektronik, dron, pembesar suara, wisel dan gendang,” ujarnya.
Justeru katanya, setiap penonton akan diperiksa badan serta beg bagi memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan
Menurut Rusdi, tindakan tegas akan dikenakan sekiranya terdapat penyokong dan penonton yang melanggar arahan ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang.
“Selain itu, penyokong dinasihatkan agar menjaga tatasusila dan tidak melakukan provokasi melampau
sehingga mencetuskan kekecohan sewaktu mahupun selepas perlawanan tersebut,” jelasnya.
Apapun keputusannya, pemain bola sepak negara tetap memerlukan penyokong untuk terus maju.
Bola sepak tanpa penyokong ibarat bermain di stadium kosong yang membosankan.















