fbpx
BAKAT sukan perlu dicungkil dari usia muda.

Kronisme, pilih bulu rosakkan bidang sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sebuah ilham untuk mencungkil bakat pemain bola sepak a­matur di peringkat akar umbi pernah dilakar sekitar tahun 2006.

Pasukan MyTeam ditubuhkan dalam kalangan pemain yang tidak pernah diketahui umum untuk menentang skuad kebangsaan. Kru MyTeam menjelajah ke 13 buah negeri di Malaysia untuk mencari bakat yang terpendam.

Meskipun tewas 1-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, namun mendongkrak suatu inspirasi yang sewajarnya buat sukan tanah air. Berusaha keluar daripada kepompong kronisme dan pilih bulu bagi mengangkat bakat terpendam yang barangkali tercicir.

Cakap-cakap tentang kronisme atau pilih bulu dalam pemilihan atlet waima di peringkat sekolah bukan lagi perkara baharu.

Murid yang terpaling laju dalam acara olahraga tidak berpeluang ke peringkat seterus­nya kerana dia ‘bukan kegemaran’ si polan yang memilih.

Ini pula antara luahan yang pernah dilontarkan di media sosial berhubung birokrasi di pering­kat lebih tinggi:

“Bawa murid johan dan terbaik MSSD (Majlis Sukan Sekolah Daerah), tetapi pemilihan pusat nama pun tiada. Bila ta­nya, jawapan dah ada budak.”

Mungkin itu yang menyebabkan bakat-bakat yang sepatutnya digilap menjadi ‘bintang’ akhirnya tersisih dimamah arus.

Barangkali itu juga yang menyebabkan kebanyakan golo­ngan ibu bapa tidak bersungguh-sungguh mendorong anak untuk serius dalam sukan.

Pemerhati sukan, Asan Ahmad berkata, sistem yang telah lama berakar umbi dalam sukan tanah air tersebut yang menjejaskan nilai.

Menurut beliau, Malaysia juga tiada pencari bakat profesional bebas yang berpeluang membantu negara seperti yang wujud di luar negara.

“Pencari bakat di luar negara bukan sekadar bola sepak, tetapi semua jenis sukan. Mereka mengesan bakat dari usia tujuh tahun.

“Pencari bakat kalau ada di Malaysia pun tidak dapat berfungsi dengan sistem sedia ada. Kewujudan pencari bakat profesional boleh membantu.

“Tetapi kena lantik yang be­tul-betul faham tentang sukan. Takut nanti lantik pencari bakat orang-orang mereka sahaja” katanya kepada Kosmo!.

Beliau turut membangkitkan tentang hala tuju graduan-gra­duan sukan tidak mendapat tempat untuk menyerlahkan bakat masing-masing.

“Kena berbalik kepada sistem. Akar umbi tidak ada. Kadangkala ada program pemba­ngunan, tetapi ke mana hala tuju?

“Macam Sukan Malaysia (Suk­ma), ke mana hala tuju atlet-atlet yang menang. Sebelum ini ramai johan acara hilang begitu sahaja,” katanya.

Rumusan kepada isu ini, 10 kali lagi temasya Olimpik belum tentu kedudukan Malaysia boleh dibanggakan jika sistem sedia ada tidak diperbaiki.
Malaysia perlu kembali kepada asas dan dasar yang jujur dalam pencarian bakat sukan sekiranya mahu mara ke hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN