fbpx

K2

Wanita murung ketika idah di rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TEMPOH idah bagi wanita kematian suami adalah empat bulan 10 hari. – Gambar hiasan

Ibu saya yang kematian suaminya sedang menjalani tempoh idah dan tidak keluar dari rumah kecuali terdapat keperluan-keperluan tertentu seperti mendapatkan rawatan di klinik. Disebabkan dia tidak bekerja, ibu mengalami kemurungan sehingga kadang-kadang membayangkan kelibat arwah suaminya disebabkan terperuk di dalam rumah. Situasi semakin teruk apabila kesedihan tersebut menjejaskan kesihatannya. Persoalannya, bolehkah saya membawa ibu keluar sekali-sekala untuk membeli barang dapur bagi meredakan kesedihannya?

Jawapan: Kemurungan adalah penyakit yang berkaitan dengan gangguan perasaan sehingga mengakibatkan seseorang itu merasa sedih berpanjangan atas pelbagai faktor seperti kehilangan insan tersayang.

Masalah kemurungan dapat dirawat melalui aktiviti sosial atau berkardio seperti bersenam, berjoging dan brisk walking. Aktiviti seperti ini secara tidak langsung mampu menenangkan emosi dan menghilangkan kegelisahan apabila bersama orang ramai.

Antara pensyariatan idah adalah untuk menzahirkan kesedihan terhadap kematian suami. Manakala, al-ihdad (berkabung) adalah perbuatan meninggalkan perhiasan kerana berduka cita atas kematian seseorang.

Tempoh idah bagi wanita kematian suami adalah empat bulan 10 hari berdasarkan firman-Nya: “Dan mereka yang meninggal dunia dari kalangan kalian serta meninggalkan isteri-isteri hendaklah mereka itu (para isteri) menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.” (Surah al-Baqarah, 23)

Menurut mazhab Syafi’i, wanita yang beridah talak ba’in atau berkabung atas kematian suaminya mestilah memelihara adab yang telah ditetapkan sebagaimana berikut: Wanita beridah wajib menetap di dalam rumah idah sehingga selesai.

Sekiranya dia beridah kerana kematian suami, maka rumah idah adalah rumah tempat suaminya meninggal dunia. Manakala, jika dia beridah kerana ditalak secara ba’in, maka rumah idah adalah rumah di mana suaminya menjatuhkan talak.

Wanita berihdad dibolehkan keluar rumah pada waktu siang hari untuk mendapatkan makanan, bekerja, mencari barang-barang keperluan asasi sekiranya tiada ahli keluarga atau orang lain yang boleh melaksanakannya atau keperluan-keperluan lain yang mendesak.

Namun, dia tidak boleh keluar pada waktu malam walaupun pada awal waktu malam berdasarkan sebahagian pendapat.

Wanita berihdad boleh keluar pada waktu siang atau malam ke rumah jiran tetangga bersebelahannya untuk keperluan berbual-bual dan seumpamanya. Hal tersebut tertakluk pada syarat- syarat berikut :
1) Perbualan itu mestilah pada kadar yang tidak keterlaluan.
2) Tiada mana-mana lelaki ajnabi yang bersama-sama mereka untuk tujuan berbual-bual dan beramah mesra.
3) Segera pulang apabila urusannya telah selesai dan dia juga wajib tidur di rumah kediamannya (rumah idah).

Menjaga emosi juga merupakan satu keperluan dan sekiranya ia tidak diatasi, maka akan memudaratkan kesihatan.

Oleh itu, ulama mazhab Syafi’i membahaskan bahawa wanita beridah boleh keluar bagi merawat kesedihannya.

Sheikh Khatib al-Syirbini dalam karyanya menjelaskan perkara tersebut.

“Wanita yang beridah dibenarkan keluar dari rumah untuk keluar rumah pada malam hari jika tidak mampu melakukannya pada siang hari.

Begitu juga dibenarkan bagi mereka keluar ke rumah jiran tetangga untuk berbual-bual dan sebagainya yang bertujuan menggembirakan hatinya (mengisi kesepiannya).

Kesimpulannya, isteri yang beridah kerana kematian suami dibenarkan keluar rumah sekiranya mereka berhadapan dengan masalah kemurungan melampau. Tidak dinafikan bahawa kehilangan orang yang disayangi boleh menyebabkan kesan kemurungan.

Kesakitan emosi tersebut perlu dirawat agar tidak menjejaskan kesihatan mereka. Antara solusi dan kaedah rawatan yang efektif bagi merawat masalah kemurungan adalah melibatkan diri dalam aktiviti sosial mahupun kardio.

Rawatan alternatif ini mampu mengubati masalah kemurungan selain dapat menenangkan hati kesepian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI