BERLIN – Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh, manakala beberapa mangsa lain masih terperangkap selepas sebahagian daripada sebuah hotel runtuh di Jerman kelmarin, lapor saluran berita CNN.
Menurut seorang jurucakap bomba dan penyelamat, kira-kira 14 orang berada dalam bangunan itu semasa kejadian.
Kejadian berlaku di sebuah kampung dalam daerah Krov yang merupakan rantau penanaman anggur di barat Jerman.
Polis berkata, insiden tersebut meragut nyawa seorang lelaki dan wanita, manakala tiga lagi mangsa masih terperangkap.
“Salah seorang mangsa yang meninggal dunia masih belum ditemui,” kata polis.
Mangsa yang terperangkap dapat menghubungi perkhidmatan kecemasan untuk memberitahu keberadaan dan keadaan mereka.
“Struktur bangunan yang tidak stabil menyukarkan operasi mencari dan menyelamat,” tambahnya.
Seramai 250 anggota bomba, paramedik, polis dan pekerja bantuan teknikal, termasuk pasukan khas, pasukan anjing penyelamat dan unit dron dikerahkan ke tempat kejadian.
Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan itu, manakala tiga rumah yang terletak sekitar hotel tersebut telah dikosongkan. – AGENSI