HULU TERENGGANU – Seorang lelaki Orang Asli Sungai Berua di sini gigih mencari rezeki walaupun menghidap penyakit buah pinggang sejak empat tahun lalu.
Kemal Jani, 56, berkata, dia perlu masuk ke dalam hutan bagi mencari daun mengkuang untuk dijadikan kraftangan demi kelangsungan hidup bersama isteri, Timah Upih, 56.
Katanya, Timah akan menganyam daun mengkuang itu menjadi tikar, beg, selempang dan talik (tengkolok Orang Asli).
“Setiap produk dijual antara RM30 hingga RM200 mengikut jenis dan saiz dan boleh dapat RM1,000 sebulan.
“Wang itu digunakan untuk belanja rawatan hemodialisis dan kusta di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu setiap minggu,” katanya.
Menurut Kemal, dia perlu menyelusuri denai, sungai dan laluan berbukit bila ke hutan.
“Penat juga perlu pikul daun mengkuang ekoran tahap kesihatan yang makin kurang memuaskan,” katanya.














