BERAKHIRLAH sudah perjalanan skuad badminton negara dan rumusan yang boleh disimpulkan ialah pemain masih belum berupaya untuk menjelmakan pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.
Perit untuk ditelan tetapi itulah realiti sebenar yang perlu segera ditangani demi misi Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Tidak dinafikan dua pingat gangsa yang dicapai di Olimpik Paris adalah yang terbaik jika dibandingkan sewaktu edisi empat tahun di Tokyo hanya satu gangsa.
Tetapi perlu diingat misi negara ialah emas kerana badminton berada dalam senarai lima sukan selain berbasikal, terjun, memanah dan pelayaran.
Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli menekankan bahawa selepas ini Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu mempertingkatkan usaha terutama memastikan Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya tiga pemain atau gandingan beregu terbaik dalam setiap kategori untuk ke LA28.
Tegasnya, peningkatan jumlah wakil Malaysia di Olimpik akan meningkatkan peratusan peluang untuk meraih emas.
“Menjelang LA28, BAM perlu menyusun setiap kategori dengan memastikan Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya tiga pemain atau gandingan beregu terbaik seperti Aaron-Wooi Yik, Lee Zii Jia mahupun beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah mampu dijelmakan.
“Selain tu, jurang ranking antara pemain utama dan barisan pemain kedua perlu diperkecilkan supaya setiap pemain mampu mencabar kemenangan.
“Macam pemain perseorangan pula, perlu dipastikan jurang ranking tidak terlalu jauh agar mampu mencabar kemenangan.
“Menjelang LA28 ini kita perlu bangunkan pemain muda yang berpotensi seperti Denmark dan China. Jadi, kita nak pemain kita ini berada dalam ranking 10 terbaik dunia.
“Jika kita mempunyai ramai pemain di Olimpik, tidak mustahil untuk kita melangkah ke separuh akhir atau final lebih cerah,” katanya.
Dalam pada itu, Olimpian Sukan Olimpik Rio 2016, Woon Khe Wei berharap BAM perlu mengatur plan lebih agresif dan tidak berharap kepada satu gandingan semata-mata.
Katanya, jurang antara setiap pemain utama dan yang kedua atau pemain junior tidak boleh terlalu jauh agar selepas ini Malaysia mempunyai ramai pemain beregu wanita.
“Saya harap selepas ini tidak fokus pada satu ‘pair’ sahaja kerana perjalanan dalam tempoh empat tahun menuju ke LA28 ini macam perkara boleh berlaku. Saya harap perlu hantar lebih banyak pemain-pemain junior menyertai kejohanan besar untuk belajar sesuatu bagi membina keupayaan menjadi pemain lebih baik.
“Waktu saya ke Olimpik, jurang saya dengan junior terlalu jauh dan kalau boleh perkara-perkara seperti ini dapat diatasi kerana kita mahu lihat lebih ramai gandingan seperti Pearly-Thinaah di LA28.
“Jika lebih baik, ranking gandingan kedua selepas Pearly-Thinaah juga tidak terlalu jauh agar Malaysia mempunyai banyak pilihan untuk melangkah ke Olimpik seterusnya,” katanya.
Secara keseluruhan, pencapaian yang dirangkul skuad badminton negara dianggap lebih baik apabila dua pingat gangsa dicapai mengatasi Olimpik Tokyo.
Bagaimanapun, rekod tersebut belum mengatasi pencapaian terbaik pada edisi 2016 di Rio de Janeiro di mana pemain badminton negara membawa pulang tiga pingat perak yang merupakan pencapaian terbaik mereka di dalam temasya Sukan Olimpik.














