fbpx
Media sosial boleh digunakan untuk meningkatkan kemahiran bahasa asing seperti bahasa Arab. – Gambar hiasan

K2

Kuasai bahasa ketiga era globalisasi melalui teori Ibn Khaldun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMBELAJARAN bahasa yang efektif memerlukan penguasaan kemahiran berbahasa yang padu untuk membuahkan hasil diingini.

Kemahiran berbahasa yang dimaksudkan adalah membaca, menulis, mendengar dan bertutur.

Namun, antara keempat-empat kemahiran ini, yang mana satukah sepatutnya didahulukan?

Menurut Ibn Khaldun, objektif akhir sesuatu pembelajaran bahasa adalah kebolehan berkomunikasi secara lisan dengan baik.

Beliau mendefinisikan bahasa sebagai suatu alat untuk meluahkan perasaan, pendapat, kehendak serta keperluan seseorang secara lisan.

Kebolehan bertutur mengikut standard Ibn Khaldun dinamakan ‘malakah’ iaitu kebolehan bertutur yang kedengaran seperti penutur asal dari segi sebutan, struktur ayat, pemilihan kosa kata tepat dan gaya bahasa sesuai dengan konteksnya.

Keupayaan berbahasa sebegini hanya boleh dimiliki apabila ia telah sebati dengan diri penuturnya, dan memerlukan pendedahan serta latihan yang banyak, kerap serta berterusan.

Bagi mendapatkan tahap penguasaan sedemikian, Ibn Khaldun mencadangkan agar kemahiran mendengar didahulukan dan dititikberatkan.

Sebagai contoh, pelajar-pelajar bahasa Arab perlu mendengar penutur asal bertutur dalam bahasa itu sebanyak yang mungkin.

Ini supaya mereka boleh memerhati dan belajar cara bagaimana penutur asal menyebut setiap huruf, menyusun kosa kata dalam sesuatu ayat, meluahkan perasaan, pendapat, kehendak, serta apa jua keperluan gaya bahasa.

Seterusnya, diikuti dengan proses pengulangan dan penghafalan serta menggunakannya secara kerap.

Ringkasnya, untuk sampai kepada satu tahap penguasaan bahasa yang baik, proses pembelajaran perlu melalui tiga peringkat iaitu menerimanya dengan cara mendengar, menyimpan bahasa dengan cara menghafal serta menggunakan bahasa dipelajari dengan latihan berbahasa.

Paling mustahak, setiap peringkat itu perlu dilakukan dengan kerap dan berterusan. Jika mempelajari bahasa Arab contohnya, bahasa yang didengar perlulah dari sumber-sumber bahasa yang tulen dan asli, merangkumi ayat-ayat al-Quran, hadis, syair, prosa dan pelbagai bentuk sastera Arab.

Kandungannya harus bersifat standard, tepat dari segi tatabahasa, dan tidak dicemari oleh penggunaan bahasa lain secara rojak.

Ini bagi memastikan bahasa yang diperoleh terpelihara dengan standard linguistik diingini.

Persoalannya, apakah teori pembelajaran bahasa Ibn Khaldun ini masih boleh dilakukan dalam era digital?

Pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek pada 28 November tahun lalu, seharusnya membuka ruang lebih luas untuk mempraktikkan saranan-saranan Ibn Khaldun.

Ini bagi memperkasakan pembelajaran bahasa terutamanya bahasa ketiga seperti bahasa Arab di Malaysia.

Ini kerana, DPD secara ringkasnya bertujuan melahirkan murid fasih digital, serta memiliki nilai dan etika penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang baik.

Ia sebagai persediaan mendepani cabaran pada masa depan.

Saya pasti pendidikan digital akan menyokong pemerkasaan pendidikan bahasa, khususnya melalui pelaksanaan saranan-saranan Ibn Khaldun dengan lebih menyeluruh.

Dengan pengintegrasian digital dalam ekosistem pendidikan, pelajar mempunyai lebih ruang dan peluang untuk belajar bahasa ketiga di luar waktu kelas.

Jadi, kekerapan pelajar bersua dengan bahasa yang ingin dipelajari boleh dipertingkatkan, sebagaimana disarankan oleh teori Ibn Khaldun.

Mengambil contoh pembelajaran bahasa Arab, kemahiran mendengar dalam bahasa yang standard sebenarnya boleh diperolehi melalui penggunaan platform media sosial yang pelbagai seperti YouTube, Telegram, TikTok, Facebook dan Instagram.

Ini kerana, perkongsian bahasa Arab dalam bentuk video dan audio seperti drama, kartun, filem, kuliah dan lagu boleh dicapai dengan mudah di platform sebegini.

Selain itu, terdapat laman sesawang khusus untuk kita berkomunikasi dengan penutur asli bagi merasai pengalaman mempelajari bahasa Arab secara langsung.

Dengan cara ini, pelajar bukan sahaja boleh belajar kaedah penutur asli bertutur dengan bahasa dan konteks yang betul, malah mereka dapat menggunakan bahasa Arab untuk berinteraksi secara efektif.

Penggunaan media sosial sebegini sangatlah penting untuk mencipta suasana bahasa baharu yang dipelajari, terutamanya apabila bahasa tersebut susah untuk didapati di persekitaran.

Namun, peranan guru amat diharapkan untuk sentiasa membimbing pelajar dalam usaha mendapatkan bahan media terbaik, bersih dan sesuai untuk mempelajari bahasa.

Ini kerana, guru boleh mengenal pasti dan menyaring terlebih dahulu bahan audio dan video yang sesuai untuk digunakan oleh para pelajar.

Saya pasti DPD akan menggalakkan pendekatan kreatif dalam pembelajaran bahasa yang pastinya akan menarik minat pelajar mempelajari bahasa asing, terutamanya bahasa Arab.

Dua asas utama pendekatan Ibn Khaldun iaitu pendedahan yang kerap dan berterusan kepada bahasa, serta kemahiran mendengar bahasa standard bersesuaian dengan konteksnya akan dapat dicapai menerusi pelaksanaan DPD.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN