fbpx
ANTARA aktiviti menarik yang dianjurkan oleh pihak Yayasan RYTHM kepada 200 peserta sepanjang tiga hari kem berlangsung.

Yayasan RYTHM bantu bina jati diri gadis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM usaha memperkasa dan membantu membina keyakinan diri pelajar perempuan di negara ini, Yayasan RYTHM (Raise Yourself To Help Mankind) tampil dengan penganjuran Kem Program Sekolah Maharani (MSP) baru-baru ini.

Perkhemahan selama tiga hari itu menghimpunkan seramai 200 pelajar tingkatan tiga dari lima buah sekolah menengah yang mengambil bahagian di daerah Seremban, Negeri Sembilan.

Sekolah terbabit adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Kelana Putra, SMK Dato’ Shahardin, SMK Felda Seri Sendayan, SMK Mantin dan SMK Puteri.

Ketua Yayasan RYTHM, Santhi Periasamy berkata, MSP adalah program pemerkasaan gadis dengan sokongan akademik dan pembangunan sahsiah peribadi untuk membina keyakinan, kemahiran kepimpinan serta memupuk potensi mereka.

“Ini merupakan penganjuran MSP terbesar sejak wabak Covid 19 berakhir. Ia merupakan pencapaian penting untuk Yayasan RYTHM.

“Kem ini mencerminkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk memperkasa anak gadis dengan menyediakan sokongan dan dukungan yang diperlukan.

“Ia meliputi peluang pembangunan peribadi untuk berkembang maju serta mengasah bakat menjadi pemimpin masa depan,” katanya.

Jelasnya, Negeri Sembilan adalah negeri kedua selepas Selangor yang mengguna pakai inisiatif yang menjadi kebanggaan Yayasan RYTHM.

Pasa masa sama, ia merupakan momen penting yang menggariskan kejayaan dan potensi MSP untuk pelaksanaan lebih meluas di seluruh negara selepas ini.

“Memperluaskan program ke Negeri Sembilan adalah satu pencapaian yang signifikan dan penting bagi kami.

“Ia bukan sahaja membolehkan kami menjangkau lebih ramai gadis remaja yang memerlukan sokongan, malah menunjukkan kemajuan dan kejayaan program MSP.

SANTHI (kanan) dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Seremban, Noraini Md. Din (tengah) ketika merasmikan MSP di Seremban, Negeri Sembilan.

“Dengan membawa MSP ke lebih banyak sekolah, kami boleh membantu lebih ramai gadis merealisasikan potensi penuh mereka.

“Ia adalah bukti komitmen kami dalam usaha memperkasa gadis remaja ini dan memberi kesan positif kepada kehidupan mereka,” ujarnya.

Tambahnya, kem tersebut melibatkan peserta dalam pelbagai aktiviti dalaman dan luaran yang interaktif bertujuan meningkatkan semangat kerja berpasukan serta membentuk pembangunan peribadi.

Aktiviti ini juga tertumpu pada pembinaan matlamat diri dan pemikiran kritis, menetapkan asas untuk para gadis mengenali diri dan memupuk potensi mereka.

Seorang peserta, Afika Amirul, 15, berkata, kem ini merupakan pengalaman yang mengubah hidupnya.

“Menerusinya, saya dapat belajar tentang kerja berpasukan dan membina keyakinan diri.

“Aktiviti amat menyeronokkan dan sangat mencabar. Ia membantu saya menemui kekuatan peribadi yang saya sendiri tidak tahu,” ujarnya.

Pelajar SMK Dato Shahardin, Thivyah Uthayakkumar pula menyifatkan perkhemahan tersebut merupakan pengalaman yang sangat baik dan berharga buatnya.

“Program ini mengajar kami kemahiran yang amat berharga seperti membina matlamat diri dan daya pemikiran kritis, sekali gus menggalakkan kami bekerjasama sebagai satu pasukan.

“Saya rasa lebih yakin dan bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran yang mendatang kelak,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada 2010, MSP telah membantu lebih 8,000 orang pelajar di seluruh Malaysia.

Program holistik itu direka khas bagi remaja perempuan berumur 13 hingga 17 tahun dengan mengutamakan pelajar dalam kumpulan B40.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN