MASYARAKAT sering ‘dimomokkan’, kemewahan yang dipamerkan adalah bukti kejayaan seseorang.
Ramai juga yang berlumba-lumba berusaha menayangkan kejayaan masing-masing dengan berkereta, berpenampilan dan mempunyai gajet mewah tanpa mengambil kira beban yang ditanggung poket.
Ada beberapa kenalan dalam kalangan mereka yang berjaya dan berpendapatan tinggi, namun memilih untuk menurunkan taraf kehidupan yang lebih ringkas.
Daripada berkereta mewah, rumah yang besar serta gaya hidup ‘mahal’, kini mereka selesa memandu kereta ekonomi selain tinggal di kediaman lebih sederhana.
Apabila ditanya, rata-rata menegaskan, tiada apa yang perlu dimalukan kerana mereka hanya memilih untuk menjalani kehidupan lebih bahagia dan sederhana.
Malah ada juga berpendapat, perbelanjaan yang dapat dijimatkan itu, boleh dilaburkan ke tempat lebih bermanfaat bagi kesenangan akan datang terutamanya di hari tua kelak.
Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Mohammad Noorizuddin Nooh berkata, pendapat bahawa pencapaian seseorang dibuktikan dengan gaya hidup mewah adalah sempit dan tidak menyeluruh.
Jelasnya, individu berjaya sepatutnya dinilai berdasarkan keupayaannya untuk memberikan manfaat kepada masyarakat, bukan sekadar kemewahan yang dipamerkan.
“Dalam masyarakat kontemporari khususnya di negara-negara maju, terdapat kecenderungan untuk mengaitkan status sosial dan pencapaian seseorang dengan gaya hidup mewah.
“Terdapat banyak faktor lain yang lebih penting dalam menentukan kejayaan seseorang seperti pencapaian akademik, kemajuan kerjaya, sumbangan kepada masyarakat, dan pembangunan diri,” katanya kepada Kosmo!.
Selain itu katanya, gaya hidup mewah adakalanya boleh membawa implikasi negatif, seperti penggunaan sumber berlebihan dan tekanan untuk mengejar status sosial.
“Adalah penting bagi masyarakat menilai kejayaan seseorang berdasarkan kriteria yang lebih holistik, bukan hanya berdasarkan kemewahan gaya hidup.
“Dengan pemikiran lebih terbuka dan adil, masyarakat dapat membina nilai-nilai yang lebih positif dan saling menghormati,” ujarnya.
Tambahnya, dalam situasi ekonomi tidak menentu, tindakan yang wajar diambil adalah mengurangkan beban kewangan terlebih dahulu.
Jika perbelanjaan dapat dikurangkan, maka tekanan kewangan akan berkurangan.
“Jadi kita dapat mengalihkan fokus kepada hal yang lebih penting, iaitu menghabiskan masa bersama keluarga.
“Jika kita dapat meluangkan masa bersama keluarga, ia secara langsung dapat meredakan stres, maka pergaduhan serta konflik dalaman keluarga dapat dielakkan,” tambahnya.















