BESUT – Seorang petani meraih pendapatan RM15,000 semusim hasil menjual ubi keledek jenis vitato yang ditanamnya di Kampung Bukit Tanah di sini.
Ramli Mohd., 37, berkata, ubi keledek vitato mengambil masa empat bulan untuk matang.
“Saya mula menanam ubi keledek vitato secara serius sejak tiga tahun lalu. Penjagaan agak mudah, hanya perlu siram, baja dan racun mengikut jadual.
“Setiap musim boleh dapat 10 tan ubi. Selain itu, saya turut jual benihnya yang diperoleh daripada keratan bahan makanan tersebut,” katanya.
Menurut Ramli, permintaan ubi keledek vitato amat tinggi tanpa mengira musim terutama musim hujan.
Tambahnya, selain direbus dan menjadi bahan asas kuih-muih, keropok keledek vitato juga sesuai dibuat kerepek.
“Saya buat penanaman secara bergilir untuk kekalkan kesuburan tanah. Ada juga cabarannya seperti ancaman haiwan perosak khususnya tikus dan ulat.
“Selain itu, cuaca panas melampau dan banjir mengejut juga boleh menjejaskan kualiti ubi keledek,” katanya.














