PERALIHAN status daripada isteri orang menjadi ibu tunggal menghadirkan dimensi baharu buat pemilik nama Wan Mawar Shaputri Wan Abd. Rashid dalam meneruskan kelangsungan hidup, terutama menjaga amanah tiga cahaya matanya.
Biar berbahagi waktu dengan bekas suami dan tidak sendirian dalam soal membesarkan anak-anak, sebagai ibu anak-anak adalah ‘acara wajib’ dalam rutin harian Mawar.
Hanya pada hujung minggu, anak-anak akan menghabiskan masa dengan bapa mereka, Raf Yaakob.
Kata Mawar, biarpun rumah tangganya dengan Raf sudah bernoktah, namun itu bukan penghalang mereka sama-sama dalam menjaga kebajikan anak-anak.
Baginya penting mereka harus bersama-sama membesarkan anak-anak dalam persekitaran sihat meskipun dia dan Raf tidak lagi sebumbung.
“Saya tidak mahu anak tersisih kerana perpisahan (perceraian). Fokus saya, memberikan persekitaran yang baik dan sihat buat anak-anak kerana tidak mahu mereka berasa kekurangan kasih sayang.

– SADDAM YUSOFF
“Membesarkan anak ini bukan perkara mudah kerana hal itu bergantung kepada diri kita. Jika berasa perkara itu sukar, maka tanggungjawab itu akan berasa berat dan sukar untuk dibuat,” katanya.
Bercakap tentang anak-anak, nada suara Mawar seperti ditahan-tahan. Air mukanya jelas menggambarkan betapa berharga anak-anak dalam hidupnya.
Demi anak-anak juga, finalis Dewi Remaja 2014/2015 itu perlu berfikiran positif dan memastikan kesihatan mentalnya sentiasa dalam situasi terbaik.
Sedar adakalanya dia begitu rapuh, Mawar akui ada waktu perasaannya bercampur-campur antara, sedih, gembira dan kecewa lebih-lebih lagi saat memikirkan soal kemelut rumah tangganya sebelum ini.
“Alhamdulillah, saya okey. Bertambah baik daripada sebelum ini kerana kalau dahulu saya rasa hendak pengsan apabila melihat banyak kamera.
“Sejujurnya saya baik. Biasalah manusia kita akan berasa sedih dan kita akan rasa gembira.
“Sejujurnya saya sangat baik, cuma perlu melalui fasa sedih sahaja,” katanya.

Mawar juga tidak menafikan ada membuat pemeriksaan dengan pakar perubahan tentang tahap kesihatan mental dan emosinya.
“Biasalah sebagai manusia biasa, saya akan berasa tertekan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak kena dalam hidup.
“Saya juga ada membuat pemeriksaan dengan doktor kerana ingin tahu tentang tahap kesihatan saya. Adakah saya mengalami kemurungan atau bagaimana.
“Tetapi doktor mengatakan saya berada dalam keadaan baik. Namun, selebihnya cukuplah sekadar saya sahaja yang tahu.
“Tetapi apa yang boleh saya katakan keadaan mental dan fizikal saya berada dalam baik-baik,” ujarnya.
Bukan sahaja ketenangan minda, Mawar juga harus peka terhadap tubub badan. Selaku tulang belakang keluarga, Mawar perlu fokus agar dapat mencari rezeki sekali gus memberi tumpuan terhadap lakonan.
“Kalau sihat secara mental dan fizikal, saya boleh beri tumpuan kepada anak-anak, jadi sebab itu saya lebih fokus terhadap penjagaan diri, mental dan emosi.
“Kalau boleh, saya tidak mahu fikir langsung tentang masalah atau berfikiran negatif. Sekiranya tidak sihat, sukar untuk beri tumpuan kepada kerjaya, keluarga dan perniagaan,” terangnya.
Kesibukan menjadi ketua keluarga menyebakkan Mawar tiada masa untuk memikirkan soal mencari pengganti atau mahu berumah tangga sekali lagi.
Selepas bercerai pada November 2023, Mawar tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi. Dalam kepalanya, hanya soal anak-anak yang mengisi rencana hari muka.
“Saya tidak berfikir soal jodoh kerana fokus saya lebih kepada menjaga anak-anak. Namun, saya juga takut untuk bercakap tentang jodoh. lebih baik serahkan segalanya kepada Tuhan,” ujarnya.

Pengalaman
Menyifatkan perceraian sebagai pengalaman hidup, Mawar mengakui berat buatnya melalui fasa tersebut.
Sama seperti pasangan lain, Mawar juga tudak terkecuali inginkan kebahagiaan berterusan bukannya perpisahan.
Melihat wajah anak-anak yang masih kecil, Mawar secara automatik menjadi ‘wanita besi’ yang berusaha untuk kuat.
Dia enggan mengetepikan tanggungjawab sebagai ibu demi mendahulukan tuntutan peribadi.
Baginya, setiap titik hitam dalam hidup adalah ‘latihan’ untuk menguatkan diri dan bersedia berdepan dengan cabaran lebih besar pada masa akan datang.
“Saya percayakan takdir Tuhan kerana jika tiada ujian berat seperti ini, saya tidak dapat menjadi sekuat ini.
“Setiap perkara yang berlaku ada sebab tertentu dan hikmahnya.
“Saya juga perlu buat yang terbaik kerana anak-anak masih kecil. Mereka cuma ada ibu bapa.
“Jadi saya hendak menjaga mereka sebaik mungkin kerana itu harta terbesar yang saya ada.
“Kita semua ada kekurangan dan kelebihan masing-masing.
“Kita kena fokus kepada kelebihan dan itu yang membantu kita untuk menjadi positif kerana kita membesar dengan cara berbeza dan masing-masing ada trauma tersendiri,” jelasnya yang kini muncul menerusi drama terbaharu Barajiwa arahan Osman Ali.

Eksperimen
Bercakap tentang naskhah siaran saluran Degup Unifi TV tersebut, Mawar mengakui bukan mudah untuk menjayakan watak Ashikin yang terjebak penyalahgunaan dadah.
Katanya, dia perlu belajar tentang jenis dadah dan kesannya agar lakonan kelihatan realistik.
“Untuk memastikan kesan sampingan daripada dadah itu kelihatan benar, saya banyak menonton video dan membuat bacaan tentang dadah.
“Kajian itu perlu kerana sebagai pelakon saya perlu menjayakan waktu itu dengan baik dan kelihatan benar kerana memang itu adalah tanggungjawab sebagai pelakon,” ujarnya.
Mawar turut memuji profesional pengarahan Osman yang membantunya menterjemahkan watak dengan baik.
“Sangat gembira berpeluang bekerja dengan Osman Ali sebab dapat membantu untuk membawakan watak dengan baik.
“Osman juga membantu saya untuk membuat lapisan watak Ashikin dari zaman persekolahan hingga dewasa,” ujarnya.
Selain Mawar drama itu turut dibintangi oleh MK K-Clique, Josiah Hogan, Ady Mohamad, Alicia Amin dan Fauzi Nawawi.















