fbpx
Gambar hiasan

Waktu kerja di Malaysia cecah 40 jam seminggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBUAH kajian oleh syarikat sumber manusia, Remote mendapati, rakyat Malaysia bekerja terlalu keras sehingga mengabaikan keseimbangan antara hidup dengan kerja.

Dalam erti kata lain, Malaysia merupakan negara kedua paling ‘teruk’ dalam pengurusan work-life balance.

Pekerja di Malaysia berkerja yang lebih panjang sehingga mencecah 40 jam seminggu, iaitu lebih 10 jam berbanding pekerja di negara-negara jiran seperti Singapura (29.1 jam) dan Indonesia (30.1 jam).

Pekerja yang tidak cukup rehat, tiada masa untuk diri sendiri, jarang sekali berasa bahagia, dan ini boleh memberi impak buruk bukan sahaja kepada majikan, tetapi juga terhadap kualiti kerja dan seterusnya kepada masyarakat.

Mengulas isu tersebut, Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, (UPM), Dr. Rojanah Kahar berkata, work-life balance bukan merujuk kepada 50 peratus waktu di tempat kerja dan 50 peratus lagi waktu bersama keluarga.

Menurutnya, dalam konteks akademik, keseimbangan kerja dan kehidupan merujuk kepada keupayaan individu untuk memenuhi komitmen mereka terhadap tugas dan keluarga, serta tanggungjawab dan aktiviti selain pekerjaan.

“Maksud keseimbangan kerja dan kehidupan yang sebenar adalah mencari keseimbangan yang baik antara kerja dan kehidupan peribadi supaya individu itu memiliki masa yang cukup untuk kedua-duanya dan tidak menjadi tertekan.

“Tumpuan diberikan terhadap gaya hidup yang merangkumi penjagaan kesihatan, pengisian masa lapang dan aktiviti bersama keluarga.

“Dalam konteks ini, seseorang individu dianggap berjaya menyeimbangkan kerja dan kehidupan apabila beliau berjaya memperuntukkan sumber mental, fizikal dan emosi yang terhad dengan cara sesuai untuk mencapai matlamat yang diinginkan dalam hidup,” katanya kepada Kosmo!.

Rojanah menambah, keupayaan untuk menyeimbangkan antara tuntutan kerjaya dan kehidupan peribadi adalah sangat mencabar.

Bagaimanapun, jika terus diabaikan, ia boleh memberi kesan negatif kepada seseorang individu.

“Sekiranya sesebuah organisasi gagal menekankan faktor keseimbangan kerja dan kehidupan dalam kalangan pekerja, maka ia secara tidak langsung akan memberikan kesan negatif dalam jangka masa yang panjang.

“Kajian membuktikan kegagalan untuk menyeimbangkan kerja dan kehidupan memberi impak terhadap masalah disiplin, ketidakpuasan kerja, komitmen kerja dan kecenderungan untuk berhenti atau berpindah.

“Kecanggihan teknologi juga kadangkala akan menyebabkan ada majikan menuntut pekerja supaya bekerja tidak kira masa dan tempat, malah pekerja itu sendiri tidak dihargai dengan gaji yang tidak setimpal beban tugas.

“Jika ini berterusan berlaku, masalah lain juga akan timbul seperti pekerja mengalami kerisauan melampau, tekanan dan boleh menyebabkan kemurungan,” ujarnya.

Tambahnya, jika lambat ditangani, perkara boleh menjadi serius, lalu menyebabkan pekerja terbabit hilang keyakinan dan terlibat masalah disiplin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN