KETIKA pemuda itu membawa rombongan wartawan melawat Stadium Merdeka, terpancar keterujaan pada wajahnya ketika dia menceritakan tentang sejarah kewujudan bangunan ikonik yang terletak di tengah ibu kota itu.
Tidak lekang ilmu yang dikongsi tentang stadium yang dibina sempena pengisytiharan kemerdekaan negara 1957 itu, malah pemuda tersebut juga amat teruja dengan usaha yang dilakukan pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk mengekalkan bangunan itu di samping pencakar langit yang dibangunkan di sebelahnya.
Menurut Ahli Lembaga Majlis Antarabangsa mengenai Monumen dan Tapak, TPr. Afzal Azhari, nilai sejarah yang terdapat pada Stadium
Merdeka bukan sekadar berkait tentang kemerdekaan negara tetapi juga simbol kepada penyatuan rakyat daripada berbilang kaum dan agama.
“Meskipun Stadium Merdeka dibangunkan sempena kemerdekaan, bangunan ini pernah menjadi kebanggaan negara sebagai sebuah kemudahan bertaraf dunia pada zamannya dan pada masa sama menjadi lokasi pelbagai aktiviti bertaraf antarabangsa.
“Simbolik stadium ini bukan hanya pada namanya tetapi ia adalah lambang penyatuan dan elemen yang menyatukan rakyat iaitu sukan, oleh kerana itu nilainya terlalu tinggi untuk dihapuskan demi pembangunan,” katanya ketika ditemu bual semasa sesi lawatan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, sebagai lokasi bersejarah juga, Stadium Merdeka perlu dipelihara untuk tatapan generasi akan datang agar kisahnya tidak terkubur dalam arus kemodenan dan terus menjadi medan penyatuan rakyat menerusi aktiviti sosial serta sukan.
Stadium Merdeka ialah sebuah stadium yang dikenali sebagai tapak pengisytiharan rasmi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
Stadium ini juga merupakan tapak pengisytiharan Malaysia pada 16 September 1963.
Stadium ini dibina dari 25 September 1956 hingga 21 Ogos 1957 oleh arkitek Amerika Syarikat, juga Pengarah Jabatan Kerja Raya ketika itu
Stanley Jewkes di bawah arahan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman yang meletakkan batu asas bangunan itu pada 15 Februari 1957.
Merupakan stadium terbesar di Asia Tenggara pada zamannya, pembinaannya menggunakan bahan binaan dibuat secara tempatan berikutan kekangan bajet ketika itu.
Untuk memastikan stadium siap tepat pada masanya, reka bentuk telah dibuat dengan kaedah ‘fast-track’ yang bermaksud selepas setiap elemen reka bentuk selesai, ia segera dibina.

Stadium ini dibina sebagai amfiteater bumi, iaitu sebahagian daripada stadium berada di bawah paras tanah dan selepas siap dibina, stadium ini memegang dua rekod dunia iaitu menara lampu limpah prategasan tertinggi pada 36.57 meter serta bumbung tempurung julur terbesar.
Menara lampu limpah dibina daripada paip pembetung Hume juga merupakan menara prategasan pertama di dunia yang diperbuat daripada unit paip pembetung pratuang dan keempat-empat menaranya didirikan tanpa menggunakan kren.
Bumbung tempurung untuk grandstand pula diperbuat daripada konkrit yang dipilih kerana harganya mampu milik dari segi ekonomi dan cantik dari segi estetika.
Berkongsi tentang sejarah lain, Afzal memberitahu bahawa Stadium Merdeka juga telah menyaksikan perlawanan kelayakan bersejarah Sukan Olimpik 1980, apabila pasukan bola sepak negara kali terakhir layak ke Sukan Olimpik.
“Stadium itu juga menjadi lokasi untuk Kejohanan Sepakbola Merdeka sehingga 1995. Selain itu, stadium itu telah menjadi tiga kali tuan rumah daripada lima Sukan Asia Tenggara yang diadakan di Kuala Lumpur.
“Lokasi ini juga menjadi tuan rumah pertarungan antara petinju legenda Muhammad Ali dan peninju British Joe Bugner pada tahun 1975 serta pada tahun sama menjadi tuan rumah perlawanan akhir Piala Dunia Hoki antara Pakistan dan India,” ujarnya.
Tambahnya, pada Februari 2003, Stadium Merdeka telah dinamakan sebagai bangunan warisan negara, selain menerima Anugerah UNESCO Asia-Pasifik untuk Kecemerlangan bagi Pemuliharaan Warisan kerana kepentingan budaya dan penjelmaan acara pengisytiharan kemerdekaan yang unik pada tahun 2008.
Sepanjang hayat kewujudan Stadium Merdeka, bangunan itu turut berdepan pelbagai cabaran untuk terus bertahan terutama selepas peranannya sebagai lokasi utama untuk perayaan dan acara sukan di Kuala Lumpur digantikan dengan Stadium Nasional Bukit Jalil yang dibina pada pertengahan 1990-an.
Bukan sekadar bertukar pemilik, malah ia juga telah menjalani beberapa proses renovasi antaranya pada tahun 2007, stadium ini telah menjalani pengubahsuaian bagi mengekalkan rupa asalnya seperti pada tahun 1957.
Namun begitu, pada 2016, stadium ini ditutup kepada umum, namun ia dibaik pulih semula oleh PNB dan dijangka siap pada penggal ketiga 2024.
Berkongsi tentang usaha baik pulih Stadium Merdeka, Timbalan Presiden Komunikasi PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. (PMVSB), Liza Karim memberitahu, lokasi ikonik tersebut akan dibuka semula pada 17 Ogos selepas tempoh pemulihan dan pemuliharaan yang panjang.
Katanya, usaha baik pulih yang menelan belanja kira-kira RM2 juta itu bakal memberi peluang kepada orang awam untuk berkunjung dan menjalani aktiviti bersama keluarga di samping mempelajari sejarah di sebalik bangunan legenda itu.
“Kita masih mengekalkan Stadium Merdeka hampir dengan rupa asalnya dengan membaik pulih bumbung tempurung ikonik stadium, struktur cantilever dwiarah terpanjang di Asia Tenggara pada tahun 1957, teres tempat duduk turut dikembalikan kepada kapasiti awal iaitu 20,000 pengunjung, manakala papan paparan juga telah dibina semula kepada bentuk asalnya.
“Malah jubin lantai di pintu masuk utama telah dipulihkan kepada keadaan seperti pada tahun 1957, memastikan pelawat dapat merasai sendiri nostalgia masa lalu apabila mereka melangkah masuk ke dalam stadium,” kongsinya.
Jelasnya, dengan pembukaan semula ini, Stadium Merdeka akan sekali lagi menjadi hab aktiviti, menganjurkan acara sukan, perayaan kebudayaan dan perhimpunan komuniti.
Ia juga akan menjadi tempat di mana rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat boleh bersatu menjadi masyarakat yang harmoni di samping meraikan sejarah kemerdekaan.
Selain datang berkunjung ke stadium, orang ramai juga boleh menempah lokasi Stadium Merdeka untuk aktiviti sosial seperti aktiviti sukan, perayaan, ekspo jualan dan sebagainya.















