PETALING JAYA – Kes orang hilang semakin menjadi-jadi apabila tiga lagi kejadian terbaharu dilaporkan semalam membabitkan tiga remaja perempuan.
Kejadian tersebut masing-masing berlaku di Petaling Jaya, Sungai Petani dan Bentong melibatkan remaja berusia 15 hingga 18 tahun.
Kes pertama berlaku di Sungai Petani apabila sepasang suami isteri dari Taman Lembah Bujang, Bedong mengakui hidup dalam kebimbangan apabila anak gadis mereka yang berusia 18 tahun telah menghilangkan diri sejak seminggu lalu.
Lebih meresahkan, Abdul Rahman Jaafar, 50, dan isterinya, Liyana Abdullah, 47, apabila anak kedua daripada lima beradik itu, Nur Dini Hayati banyak bergantung kepada ubat kerana menghidap sawan.
Menurut Abdul Rahman, anaknya yang dipanggil adik itu disedari keluar dari rumah dengan menunggang motosikal jenis Honda Wave kira-kira pukul 6.20 petang pada Jumaat lalu.
“Adik dipercayai keluar dari rumah semasa saya berada di dalam bilik air, manakala isteri pula sedang mengemas di dapur.
“Sebelum itu, dia dan ibunya baru sahaja pulang daripada menghantar makanan yang dipesan pelanggan di Taman Ria. Selepas itu, dia keluar semula dari rumah dengan menunggang motosikal,” katanya.

di rumahnya di Felda Lurah Bilut, Bentong semalam.
Kata pesara tentera itu, dia hairan kerana anaknya itu keluar tanpa membawa sebarang barangan termasuk pakaian.
“Saya dan isteri susah hati kerana bimbangkan dengan keselamatan dan keadaan kesihatannya. Nur Dini sering diserang sawan dan perlu makan ubat mengikut jadual setiap hari.
“Pelbagai cara kami buat dan usahakan untuk menjejakinya termasuk membuat laporan polis, namun sehingga kini dia gagal dikesan,” ujarnya.
Dalam pada itu, mereka yang mempunyai maklumat atau ternampak Nur Dini boleh menghubungi Abdul Rahman di talian 017-5164487 atau memaklumkan kepada mana-mana balai polis berdekatan.
Di Bentong, Pahang, seorang bapa turut dihimpit kebimbangan apabila anak perempuannya dilaporkan hilang dan gagal dikesan sejak Isnin lalu.
Shahrizan Mohd. Daud, 44, berkata, dia menyedari kehilangan Nur Aina Faqihah, 17, yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lurah Bilut selepas balik dari kerja pada Isnin lalu.
“Nur Aina ada maklumkan kepada adiknya ketika dia mahu keluar rumah dengan menaiki sebuah motosikal.
“Adik juga ada maklumkan yang kakaknya mungkin ada membawa beg dan selepas memeriksa bilik, barulah kami perasan yang beg serta baju serta dompet Nur Aina sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Felda Lurah Bilut di sini semalam.
Susulan kejadian itu, Shahrizan yang bekerja sebagai pemandu lori telah membuat laporan di Balai Polis Lurah Bilut semalam.
Katanya, sehingga kini tiada apa-apa maklumat mengenai anak ketiga dari tujuh beradik itu, malah nombor telefon anaknya itu juga tidak dapat dihubungi.
“Setahu saya, Nur Aina tidak ada masalah dengan keluarga dan dia juga seorang yang pendiam.

“Setakat ini, kami dan saudara lain sudah puas mencari, tetapi tiada sebarang kes untuk menjejaki Nur Aina,” jelasnya.
Shahriza memberitahu, apa yang membuatkan dia pelik apabila anaknya itu sejak akhir-akhir ini tidak mahu ke sekolah sehingga pengetua dan guru datang memujuknya di rumah.
“Saya berharap Nur Aina akan segera pulang dan kepada sesiapa yang mempunyai maklumat, bolehlah menghubungi pihak polis,” katanya.
Di Petaling Jaya, Selangor, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun turut dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak 15 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, remaja dikenali sebagai Nurul Fatihah Abdullah itu kali terakhir dilihat di rumahnya dekat Jalan PJU 7/8, Desa Temuan Damansara Perdana sekitar pukul 5.30 petang.
“Remaja berkenaan berketinggian 170 centimeter (cm) dengan warna kulit hitam manis, berambut hitam, hidung lebar, mata coklat dan bibir mulut nipis,” katanya semalam.
Susulan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung remaja itu agar menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 untuk tindakan lanjut.














