BENTONG – Trend penjualan durian secara biji berbanding timbang kini mula menjadi fenomena yang menyaksikan durian musang king Raub turut dijual pada harga RM100 untuk tujuh hingga lapan biji.
Seorang penjual durian, Tengku Rezza Tengku Abdul Razak berkata, dia mula menjual musang king pada harga promosi berkenaan beberapa hari lalu sebagai menghargai pembeli dan bagi membolehkan semua orang dapat merasai keenakannya.
“Alhamdulillah, sambutan memang amat baik sekali dan buah yang dijual memang terhad dan habis setiap hari.
“Buah-buah ini saya hanya jual runcit kepada pelanggan yang datang ke kedai dan tidak menerima tempahan,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, meskipun durian musang king gred C dijual dengan kaedah berkenaan, tetapi ia berkualiti dan merupakan buah baharu daripada kebun musang king di Raub.
Katanya, setiap hari dia menjual lebih dua tan durian musang king Raub termasuk yang dijual secara timbang bagi gred lain.
“Buah memang terjamin dari segi kualiti dan buah yang rosak juga boleh ditukar demi kepuasan pelanggan,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pada masa ini, harga bagi jualan timbang musang king adalah antara RM25 hingga RM28 dan durian D24 antara RM19 hingga RM20 sekilogram.
Sementara itu, seorang pembeli, Johan Abdullah, 45, berkata, penjualan secara biji berbanding timbang sememangnya amat dinantikan kerana lebih ramai penggemar durian boleh menikmati keenakan raja buah berkenaan.
Katanya, dia yang membeli buah tersebut berasa puas hati dan berbaloi mengeluarkan wang bagi menikmati isi durian bersama keluarga.
“Saya harap penjualan dengan kaedah ini dapat diteruskan oleh penjual dan saya akan datang lagi untuk membeli buah musang king,”katanya.














