Sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangaan di Putrajaya minggu lalu, Sultan Ibrahim mengingatkan umat Islam di negara ini supaya berhati-hati dalam menuntut ilmu agama di media sosial.
Dalam dunia sekarang yang mana semuanya di hujung jari, segala maklumat dapat diakses dengan mudah asalkan ada peranti dan internet.
Dalam kesibukan bekerja menempuh kesesakan lalu lintas dan menguruskan keluarga. Ada yang menjadikan media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube menjadi rujukan bagi mendapatkan maklumat berkaitan agama.
Jika maklumat yang diakses itu sumbernya daripada pihak yang sahih alhamdulillah tiada masalah, tetapi bagaimana pula jika sebaliknya.
Tidak dinafikan ada pihak yang berkongsi ilmu agama atau jawapan bagi sebarang kemusykilan yang timbul, tetapi tidak menjelaskan dalam konteks keseluruhan.
Video penerangan yang padat dan panjang lebar dipotong sehingga menimbulkan salah faham dan paling menakutkan membawa kepada perbalahan sesama umat Islam.
Oleh itu, bertepatan dengan titah Yang di-Pertuan Agong bahawa setiap umat Islam perlu bijak menilai mana yang betul atau sahih dan salah.
Ini kerana, penyebaran maklumat berkaitan agama Islam yang tidak tepat terutamanya di media sosial boleh membawa kekeliruan, perpecahan dan amalan agama yang menyimpang.
Berdasarkan petikan ucapan Seri Paduka “Jika orang dahulu belajar agama dengan membaca kitab dan mendengar kuliah di masjid, namun orang sekarang belajar agama secara online daripada ustazah Facebook dan ustaz TikTok.”
Ada juga pihak yang menangguk di air keruh dengan menyampaikan ajaran yang salah di kedai kopi dan restoran seperti yang didedahkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berhubung ajaran Millah Abraham.
Ajaran yang difatwakan menyimpang daripada agama Islam oleh pihak berkuasa agama Negeri Sembilan pada tahun 2019 itu menyebar ajaran kepada ahli keluarga, rakan-rakan serta orang yang terdekat dengan mereka.
Selain mengejar pahala mencari ilmu di media sosial, orang kita juga terkenal dengan sifat pemurah suka menderma kepada mereka yang memerlukan.
Sekarang ini jika mahu bersedekah tidak perlu ke premis seperti masjid, surau dan madrasah.
Kita tidak perlu menyalin nombor akaun. Cukup dengan hanya mengimbas kod QR, duit sudah berpindah tangan.
Namun, yang tidak enak apabila ada pihak ambil kesempatan atas sifat empati orang kita. Kadang-kadang penulis sendiri tertanya adakah wang sedekah itu sampai kepada pihak sepatutnya. Wallahuaklam.
Yang penting niat kita hanya untuk membantu dan penulis rasa perkara sama juga yang berada di fikiran penderma lain.
Mungkin bagi kita nilai RM5 RM10, RM50 itu tidak seberapa, namun jika 100 orang yang menderma berapa pula jumlahnya.
Jika dulu kita berhati-hati dengan pengemis di kaki lima kedai, pasar malam dan kedai makan sekarang ini kita perlu berwaspada dengan ‘pengemis moden’ mencari mangsa di media sosial.














