Menjejakkan kaki ke rumah pasangan warga emas di salah sebuah taman perumahan teres setingkat di Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini bagaikan melangkah ke gerbang warisan Melayu.
Manakan tidak, rumah teres yang sepatutnya berdindingkan batu bertukar kepada binaan kayu jati dan papan.
Sementara itu, suasana dalaman rumahnya pula membuatkan pengunjung seolah-olah berada di rumah tradisional Melayu lama era 50-an hingga 70-an dengan sedikit sentuhan kolonial.
Menurut Mohd. Noor Abdullah, 68, yang ditemui di kediamannya yang diberi nama Rumah Klasik di Taman Mutiara, segalanya bermula apabila dia berhasrat untuk memulihara barangan antik milik arwah ibu serta arwah bapanya di rumah pusaka.
“Ibu saya meninggal dunia pada tahun 1992, manakala bapa pula meninggal dunia pada tahun 2000. Kedua-dua mereka meninggal akibat sakit tua. Balik rumah pusaka tinggalan mereka, tengok barang-barang (antik) ada. Sayang pula jika tidak dijaga dengan baik.
“Barangan antik ini mempunyai kisahnya tersendiri yang boleh dikongsikan dari satu generasi ke satu generasi. Contohnya, alat penyukat yang digunakan masyarakat Melayu lama untuk membayar zakat fitrah,” katanya kepada Panorama.
Menurutnya yang lebih mesra dengan panggilan Pak Uda, pada masa dahulu, kiraan sukatan adalah mengikut kiraan bekas iaitu kat (sebelah tempurung), cupak dan gantang.
“Empat kat akan dapat satu cupak, manakala empat cupak akan dapat satu gantang. Ini barang-barang peninggalan arwah mak Pak Uda.
“Alat ini begitu penting bukan hanya untuk jual beli barangan makanan, tetapi juga untuk pengiraan zakat fitrah. Sekarang, bayar zakat fitrah guna kiraan harga beras, dahulu memang ikut berat beras,” kongsinya ceria.
Menurutnya lagi yang merupakan bekas pekerja kedutaan Australia di Kuala Lumpur selama kira-kira 32 tahun iaitu dari tahun 1982 hingga bersara pada tahun 2014, minat mengumpul barang antiknya itu semakin membara apabila dia mula berminat mencari barangan itu di luar negara dari tahun 2000.
“Macam kukur kelapa pusing itu, saya dapat dari kawan di London, jam antik pula dari kenalan di Australia. Masa ke rumah kenalan di sana, saya meminta daripada mereka untuk disimpan sebagai tanda kenang-kenangan.
“Malah, tak kurang juga barang-barang antik di rumah ini yang saya kutip di tong sampah, orang nak buang, orang tak pakai, saya risik. Contohnya beg-beg lama, hiasan kelarai dan kerusi.
“Tak kurang juga pemberian rakan-rakan atau orang yang hantar kerana mahu barangan antik milik keluarga mereka dijaga dengan baik. Saya rasa macam mimpi, jadi saya tanya pada mereka, risau jika barang itu ada saka, dia cakap, beg berkenaan kepunyaan ibunya dan tidak digunakan lagi,” katanya.
Malah menurut Pak Uda lagi, dia juga masih menyimpan dengan baik peti kayu milik arwah datuknya, Tahir Manan yang digunakan untuk ke Mekah pada tahun 1960an.

“Orang dulu-dulu, peti inilah mereka isi beras, lesung batu, kunyit dan segala barangan makanan sepanjang berbulan-bulan pergi ke Mekah untuk menunaikan haji,” kongsinya.
Jelasnya lagi, ribuan barangan antik di kediamannya itu yang disusun atur dengan bantuan isteri tersayang, Rubiah Abdul Hamid, 72, berasal dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu sememangnya menanti pengunjung untuk dikongsikan kisah serta sejarahnya.
“Tak rugi datang ke sini kerana ada macam-macam barangan antik yang menarik. Kalau nak tengok alat memotong padi zaman dulu-dulu yang dipanggil tuai pun ada di sini, acuan buat kuih apam balik, bekas telur dan bekas susu dua puting yang kebanyakannya sudah berusia lebih 50 tahun.
“Malah, saya juga ada pelbagai jenis telefon dan ada antara telefon jenis telefon awam yang masih berfungsi dengan baik hingga ke hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pak Uda ketika ditanya mengenai permulaan merealisasikan impian Rumah Klasiknya, dia menyatakan mula mengubah suai sedikit demi sedikit sejak tahun 2010 lagi.
Menurutnya, selepas mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), dia menggunakan wang simpanan yang ada serta sumbangan untuk menambah barangan antik untuk dipamerkan di rumahnya.
“Dahulu rumah Pak Uda bukan macam ni, tapi Pak Uda buat sikit-sikit. Pintu (utama rumah) ini Pak Uda dapat dari Indonesia. Pintu lama-lama, ada palang, ada tetupai dan pengepit. Tak pakai kunci.
“Katil bilik utama juga, katil lama era 70-an yang dibeli di Indonesia. Secara keseluruhannya, Pak Uda dan Mak Uda sudah berhabisan kira-kira RM300,000 bagi Rumah Klasik ini,” katanya.
Menurutnya, rumah itu sudah pun menarik kehadiran 50 pasangan pengantin baharu bagi sesi fotografi.
“Kalau untuk sesi fotografi pengantin atau sambutan tertentu, memang ada kadar bayaran yang dikenakan. Kalau mahu pelamin sekitar RM150, kalau hanya untuk bergambar sekitar RM60 tetapi siap dengan pakej makan, minum stail lama-lama,” katanya.
Ujar Mohd Noor yang mempunyai dua anak serta empat cucu, dia miliki banyak perancangan untuk kediaman tersebut, namun perancangan tersebut bergantung kepada sumber kewangan yang ada lebih-lebih lagi mereka sudah pun bersara.
Bagaimanapun, ada beberapa individu terdiri daripada ahli politik serta kenalan yang menyokong minatnya itu serta memberi bantuan, selain sumbangan ikhlas daripada pengunjung.
“Saya gunakan sumbangan sebaik mungkin untuk menambah lagi barangan antik di rumah ini. Bagaimanapun, saya tak galakkan pengunjung datang pada hari Sabtu dan Ahad kerana bimbang terdapat pengantin,” katanya.
Malah menurutnya, dia juga tidak menggalakkan kehadiran kanak-kanak kerana terdapat insiden barangan antik rosak.
“Memang benar ada yang mahu menggantikan dengan wang, namun barangan yang rosak atau pecah tidak mungkin dapat dicari ganti,” katanya.
Ujarnya, dia amat berharap agar rumahnya itu akan dapat diwarisi serta dijaga sebaik mungkin dari satu generasi ke satu generasi tanpa dijual bagi menjadi galeri mempamerkan pelbagai barangan antik terutamanya masyarakat Melayu.















