fbpx
Hiasan yang minimalis memberikan ketenangan.

K2

Pesona kediaman minimalis moden Perancis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEDIA sosial dan aplikasi hiasan kediaman sering menjadi sumber rujukan mereka yang mahu mendapatkan inspirasi untuk menghias rumah idaman.

Hasil rujukan daripada internet, pasangan suami isteri, Halily Kamaruzaman, 40, dan Aslam Rahmat, 54, cukup terpikat dengan konsep hiasan minimalis Perancis, justeru memilih untuk menerapkan konsep tersebut dalam kediaman teres milik mereka yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur.

Halily atau lebih mesra disapa Lily memberitahu, dia mendapat idea untuk menghias kediaman mereka dengan tema tersebut hasil daripada rujukannya di aplikasi Pinterest dan juga laman web berkaitan rumah.

“Saya tertarik dengan cara orang Perancis menghias kediaman mereka dan jika dilihat, mereka banyak menggunakan rona seperti putih dan hitam dalam tatahias kediaman.

“Apa yang paling menarik bagi saya pula adalah penggunaan barang hiasan seperti arca dan juga patung-patung Rom purba,” katanya.

Selain arca purba, dekorasi Eropah juga amat menekankan tatahias seperti perabot ringkas dan juga moden.

Elemen mewah turut digarap Lily di kediamannya.

Penggunaan perabot seperti meja kopi berbingkai hitam pada kediaman Lily berjaya menyerlahkan lagi estetika seni hiasan dalaman yang dipilihnya itu.

Saat kaki melangkah masuk, pengunjung boleh melihat rona putih, hitam dan kelabu memenuhi ruang tamu kediaman Lily, menjadikan ia kelihatan luas.

Kemasan lantai jenis marmar pula memberikan elemen mewah pada kediaman milik ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

Antara ciri lain yang menjadikan hiasan pilihan Lily cukup menyerlah adalah penggunaan bingkai gambar abstrak pelbagai saiz yang diletakkan di beberapa sudut utama kediaman.

Hasilnya, kediaman tampak menarik dan mempunyai karakter tersendiri.

Bagi pemilihan karpet pula, Lily memilih karpet rekaan moden minimalis polos daripada rona lembut.

Selain itu, limpahan cahaya semula jadi daripada satu tingkap bersaiz besar yang ditempatkan di ruangan itu juga menjadikan kediaman seluas 300 meter persegi itu cukup redup dan selesa.

Bagi menambah seri pada ruangan itu, dia meletakkan satu unit cermin besar berbingkai emas bagi menyerlahkan lagi sisi Eropah pada dekorasinya.

“Selain cermin, saya juga meletakkan bingkai gambar dengan imej bergaris yang cukup minimalis dan sesuai dengan imej dekorasi yang diketengahkan,” katanya.

Menjengah ke ruang dapur kediaman, Lily memilih rona putih sebagai rona utama dengan sedikit percikan rona hitam pada beberapa sudut.

Pemilihan lantai jenis kayu menyerlah elemen moden pada dekorasi, menjadikan dapur nampak mewah, namun masih ringkas.

Tambahan hiasan seperti pokok-pokok kecil juga menambah elemen segar pada seisi ruang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN