ALOR SETAR – Pusat Racun Negara (PRN) percaya jenis racun yang dicampur dalam makanan ringan sebelum dimakan dua kanak-kanak lelaki di Kulim, dekat sini sehingga menyebabkan kematian adalah jenis racun tikus penyebab sawan atau dikenali convulsant rodenticide.
Pegawai Farmasi Bahagian Maklumat Ubat dan Racun (Kawalan Racun Perosak) PRN, Asdariah Misnan berkata, ia berikutan dua mangsa berusia dua dan tiga tahun itu diserang sawan selepas memakan jajan bercampur racun tersebut.
“Racun tikus jenis ini biasanya mengandungi salah satu daripada bahan aktif seperti TETS (tetramethylene disulfotetramine), SMFA (sodium monofluoroacetate), fluoroacetamide dan fluoroacetic acid.
“Pangkalan data keracunan Toxinz, New Zealand melaporkan bahawa TETS adalah racun yang sangat toksik dan lebih toksik daripada strychnine serta boleh menyebabkan kematian dengan dos sebanyak 6-12 mg dalam kalangan orang dewasa.
“Selain itu, satu jilatan oleh kanak-kanak juga sudah memadai untuk menyebabkan kematian,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Kata beliau, serbuk yang tiada bau, rasa dan warna serta mudah larut air itu diserap dengan cepat ke dalam salur darah apabila ditelan atau dihidu.
“Kebiasaannya dalam tempoh beberapa minit selepas pendedahan, mangsa akan mengalami kebas pada lidah, muntah, sakit kepala dan pening. Dalam kes yang teruk, mangsa boleh diserang sawan yang berpanjangan dan memerlukan rawatan di hospital dengan kadar segera.
“Kelewatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kematian. Walaupun sawan dapat dirawat, mangsa juga berpotensi untuk mendapat kesan jangka panjang sehingga beberapa bulan seperti kesukaran bertutur, gangguan ingatan dan penglihatan, selain berisiko untuk mendapat serangan sawan yang berulang,” ujarnya.
Sementara itu, kata beliau, sebilangan pekebun lebih gemar menggunakan racun tidak berdaftar kerana ia lebih berkesan, berbanding racun tikus yang dibenar digunakan dalam negara.
“Terdapat sesetengah individu mencampurkan racun tikus ini dengan makanan seperti makanan ringan dalam kes di Kulim itu dan ada juga yang memasukkan ke dalam buah dan nasi untuk menghapuskan haiwan perosak.
“Tindakan sedemikian mendedahkan risiko pihak lain terutama anak kecil memakan makanan dicampur racun itu yang mana ia boleh membawa maut,” jelasnya.
Katanya, penggunaan racun tikus yang tidak berdaftar sangat berbahaya dan orang ramai terutama pekebun perlu mengelak daripada menggunakannya.
“Kita dapati racun tikus tidak berdaftar ini dijual secara dalam talian,” ujarnya.
Tambahnya, racun tikus yang berdaftar dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak di negara ini serta dibenarkan penjualan dan penggunaannya mengandungi zink fosfida atau agen pencair darah seperti warfarin, brodifacoum dan chlorophacinone.
Mengikut rekod, sepanjang Januari hingga Julai lalu, PRN menerima 48 kes keracunan melibatkan racun tikus dan enam kes daripadanya disyaki melibatkan racun tikus penyebab sawan yang tidak berdaftar serta telah lama diharamkan penjualan dan penggunaan dalam negara kerana kesan toksik yang tinggi.














