fbpx
Kebanyakan platform e-dagang mula menawarkan kemudahan BNPL bagi menggalakkan orang ramai membeli barangan keperluan dengan lebih mudah. – Gambar hiasan

K2

Perangkap halus skim ‘Beli Dahulu Bayar Kemudian’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKEMBANGAN trend semasa perniagaan di platform e-dagang menunjukkan perubahan yang pantas dan lebih mendapat sambutan sejak berlakunya pandemik Covid-19.

Sebelum wujudnya era perniagaan platform e-dagang, kaedah pembelian yang dilakukan oleh pengguna adalah secara konvensional iaitu pengguna perlu pergi ke kedai secara fizikal untuk mendapatkan barang dikehendaki.

Namun kini, terdapat pelbagai platform e-dagang yang berada di pasaran seperti Shopee, Lazada, Ebay, Etsy dan pelbagai lagi yang saling bersaing antara satu sama lain.

Bagi menarik pengguna menggunakan platform tersebut, pelbagai strategi pemasaran dan perniagaan telah dilakukan untuk memastikan kelangsungan perniagaan.

Antara strategi perniagaan yang dilakukan adalah memperkenalkan kaedah pembayaran melalui ‘Buy Now Pay Later’ (BNPL) atau Beli Dahulu Bayar Kemudian.

Melalui kaedah itu, seseorang individu boleh membeli sesuatu item dan membayarnya pada bulan berikutnya atau setelah barang tersebut diterima.

Pembayaran pula boleh dilakukan sama ada secara keseluruhan atau ansuran.
Kaedah sistem pembayaran BNPL telah diterima pakai secara meluas di Eropah untuk tempoh agak lama.

Bagaimanapun, ia telah mula berkembang di pasaran Asia sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebagai salah satu penyelesaian pembelian dalam talian.

Melalui konsep pembayaran BNPL, ia membuktikan bahawa ‘kad kredit’ mampu ditemui di mana-mana sahaja tanpa memerlukan kewujudan kad tersebut secara fizikal.

Bagi memiliki kad kredit, seseorang individu perlu mempunyai pekerjaan dan pendapatan stabil bagi memboleh pihak bank mengeluarkan kad tersebut untuk kegunaan pengguna.

Berlainan pula dengan kaedah kredit pembayaran BNPL, di mana pelbagai lapisan pengguna sama ada pelajar kolej, suri rumah, penganggur dan remaja yang mempunyai pengetahuan digital dapat menggunakan kelebihan tersebut tanpa mengambil kira status pendapatan semasa individu.

Konsep BNPL sekiranya dilihat pada permukaan dapat dinilai sebagai suatu kaedah yang mampu membantu pelanggan-pelanggan berpotensi dalam pasaran mendapatkan barang keperluan.

Namun tanpa sedar, BNPL merupakan salah satu perangkap halus kewangan yang mampu memerangkap seseorang individu dalam krisis lebih besar secara perlahan-lahan.

Kebiasaannya, keadaan sudah terlambat ketika individu tersebut menyedari krisis kewangan yang berlaku. Jika dilihat daripada kedua-dua perspektif, kaedah BNPL mempunyai kebaikan dan keburukan bergantung bagaimana seseorang individu itu menggunakan kemudahan berkenaan.

Dari sudut positif, kaedah pembayaran BNPL akan memberikan beberapa kelebihan kepada pengguna seperti melibatkan proses permohonan yang mudah dan cepat.

Ini kerana, ia tidak melibat kelayakan spesifik (tiada had umur, tiada kelayakan khusus, dan tidak memerlukan kelayakan skor kredit).

Keadaan itu memudahkan urusan pembelian mengejut di pihak pelanggan disebabkan tiada faedah atau faedah lebih rendah dikenakan berbanding kad kredit.

Namun di sebalik kelebihan, kaedah BNPL juga mempunyai keburukannya iaitu menggalakkan pengguna melaksanakan perbelanjaan bersifat impulsif sehingga mengakibatkan perbelanjaan berlebihan daripada kapasiti kewangan.

Hal ini kerana, individu tersebut merasakan bahawa dia masih mempunyai ruang untuk meningkatkan kapasiti hutangnya.

Ini disebabkan oleh jumlah hutang yang telah dipecahkan kepada nilai-nilai lebih kecil untuk satu tempoh waktu sehingga membuatkan individu cenderung berpendapat bahawa mereka masih mampu menampung hutang kewangan lain.

Pada hakikatnya, nisbah kewangan terhadap jumlah pendapatan semakin meningkat.

Menurut saranan yang diberikan oleh Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK), nisbah hutang kepada pendapatan yang berada dalam kategori baik adalah 45 peratus dan ke bawah.

Melalui kaedah BNPL, sekiranya pembayaran lewat atau gagal melakukan pembayaran kembali, pengguna akan dikenakan yuran pembayaran lewat dan caj tambahan.

Ini akan menjejaskan nilai kredit skor seseorang individu.

Kesimpulannya, penting untuk setiap individu sentiasa melengkapkan diri agar mampu menjadi pembeli bijak dan berhemah sebelum memasuki pasaran.

Antara nasihat yang biasa saya sampaikan kepada masyarakat dan individu, kita tidak dapat menyalahkan atau menghalang sesebuah syarikat daripada melaksanakan strategi perniagaan bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

Namun, kita sebagai seorang pengguna seharusnya lebih ‘bijak’ dalam bertindak dan menggunakan sebarang kemudahan yang telah disediakan.

Bijak dalam erti kata di sini adalah menjadi seorang pengguna yang mempunyai ilmu kewangan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Selain itu, anda perlu sentiasa memastikan emosi sentiasa dalam keadaan terkawal dan stabil ketika menguruskan kewangan anda.

Hanya dengan ilmu pengetahuan dan emosi stabil, ia dapat memastikan anda mampu menjadi pembeli yang bijak serta berhemat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN