GOMBAK – Keluarga mendiang Esha atau nama sebenarnya, Rajeswary Appahu, 30, ingin menuntut keadilan buat wanita itu yang ditemui meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa buli di media sosial.
Ibu mangsa, Puspa P. Rajagopal, 56, berharap individu yang melemparkan fitnah dan ugutan jenayah sehingga membuatkan Rajeswary bertindak sedemikian dihadapkan ke muka pengadilan.
“Hari ini anak perempuan saya jadi macam ini. Lain kali, perempuan lain pula boleh kena benda yang sama. Siapa yang terlibat perlu ditangkap dan dimasukkan ke penjara sebagai pengajaran.
“Baru orang takut mahu buat lagi. Saya tak mahu perkara ini berulang kepada anak orang lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.
Ujarnya, dia menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa dan turut menerima bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Kata Puspa, dia dan suami, P. Appahu, 62, mengetahui berita kematian anak bongsu mereka selepas dihubungi teman lelaki Rajeswary.

“Saya sedang berniaga ketika itu dan suami telefon memaklumkan Rajeswary sudah tiada. Saya terus pergi ke rumahnya dan sempat melihat mayatnya sebelum dibawa pihak berkuasa.
“Rajeswary merupakan seorang anak yang baik dan cemerlang di sekolah. Tidak pernah ada masalah disiplin. Dia juga seorang yang kuat agama dan rajin sembahyang.
“Sewaktu pandemik Covid-19, Rajeswary sering menyertai aktiviti sukarelawan membantu orang lain. Siapa tiada makanan, dia bantu. Waktu banjir dia keluar dengan kawan-kawan dia.
“Kalau saya kata saya susah, dia akan nangis dan susah hati. Dia akan terus masukkan duit untuk beli keperluan rumah dan barangan dapur,” jelasnya sebak.
Sementara itu, Appahu berkata, Rajeswary terlalu rapat dengannya dan sering berhubung melalui panggilan telefon setiap hari.
“Saya memang amat terkesan dengan pemergiannya,” katanya.
Difahamkan, Rajeswary pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak, L. Navanith, 13, yang kini dijaga oleh bekas suaminya yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan. -KOSMO! ONLINE















