PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah agar setiap umat Islam berhati-hati dalam menuntut ilmu agama di media sosial selain memastikan kandungan diperoleh adalah sahih dan berwibawa.
Baginda bertitah, setiap umat Islam perlu bijak menilai mana yang betul dan salah kerana penyebaran maklumat agama tidak tepat di media sosial boleh membawa kekeliruan, perpecahan dan amalan agama yang menyimpang.
“Pada hari ini, kita berdepan cabaran kebanjiran maklumat tanpa sempadan melalui media sosial yang sukar dikawal.
“Orang dahulu belajar agama dengan membaca kitab dan mendengar kuliah di masjid, namun orang sekarang belajar agama secara ‘online’ daripada ustazah Facebook dan ustaz TikTok.
“Terdapat juga kebimbangan semakin meningkat mengenai penyebaran maklumat berkaitan agama Islam yang mengelirukan, tidak tepat, salah tafsir dan ajaran yang menyimpang daripada prinsip Islam yang sebenar,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/ 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE














