fbpx
RAJA AMIRUL MUKMIN ceria menunjukkan salinan tawaran bantuan pengajian TAZU yang diterimanya ketika ditemui di Kampung Gong Manak, Pasir Puteh semalam.

Pelajar OKU dapat tajaan RM27,000 ke UTP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Seorang pelajar orang kelainan upaya (OKU) yang meraih 8A, 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 mengubah keputusannya apabila memilih untuk menyambung pengajian peringkat asasi kejuruteraan kimia di Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Raja Amirul Mukmin Raja Safari, 18, berkata, keputusan itu dibuat selepas dia mendapat tajaan selama setahun mene­rusi Tabung Amanah Zakat UTP (TAZU) bernilai lebih RM27,000 untuk melanjutkan pengajian di universiti tersebut.

“Saya memilih UTP berban­ding lanjut pengajian program asasi kejuruteraan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gambang, Pahang selepas membuat solat sunat istikharah hampir setiap hari.

“Saya menerima dua surat tawaran pengajian di UTP dan UIAM. Selepas menimbang semula daripada pelbagai sudut terutama­nya melibatkan keperluan selain melakukan solat istikharah, saya memilih untuk ke UTP pada 25 Ogos depan.

“Alhamdulillah, saya sudah menandatangani borang persetujuan penerimaan tajaan TAZU hari ini (semalam),” kata­nya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Ujarnya, surat tawaran bantuan TAZU bertarikh 1 Julai 2024 daripada Pengarah Yayasan UTP dan Pengurusan Zakat, Nor ­Adela Dinyati sekali gus melegakan ibu bapanya.

Menurutnya, TAZU menawarkan tajaan yuran pendaftaran berjumlah RM1,050, yuran akademik (RM17,762), hostel (RM3,000) dan elaun pengajian (RM6,000).

“Saya harap semua pihak dapat mendoakan saya untuk memudahkan perjalanan ke menara gading bagi meneruskan pengajian asasi kejuruteraan kimia yang bersesuaian dengan cita-cita saya untuk menjadi pakar kimia pada masa akan datang.

“Keprihatinan semua pihak terhadap kekangan kewangan yang dihadapi saya dan keluarga untuk menyambung pengajian amat dihargai,” ujarnya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Korporat TAZU ketika dihubungi mengesahkan tawaran itu akan bermula 1 September depan sehingga 31 Ogos 2025.

“Kos keseluruhan tajaan bagi tempoh setahun pengajian Raja Amirul Mukmin berjumlah RM27,812,” katanya.

Kosmo! kelmarin melapor­kan, remaja itu memerlukan dana RM7,000 untuk belajar dalam program asasi kejuruteraan di UIAM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN