fbpx
Sayangilah bapa kerana tanpa usaha dan pengorbanan mereka, kesejahteraan dan kebahagiaan keluarga tidak dapat dicapai. – Gambar hiasan

K2

‘Kita sentiasa berhutang dengan bapa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM institusi keluarga, bapa memainkan peranan yang penting. Ibaratnya bapa merupakan nakhoda yang mengemudi bahtera sebuah rumah tangga di samudera institusi keluarga.

Dalam rumah tangga, kehadiran susuk seorang bapa sangat penting di samping seorang ibu. Bapa bertanggungjawab memastikan segala keperluan rumah tangga terpenuhi dan berjalan lancar. Bapa juga bertindak sebagai pelindung dan pemberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.

Di samping itu, bapa adalah individu yang berperanan dalam membentuk keteguhan dan kestabilan jiwa anak-anak.

Berdasarkan hadis Nabi SAW, bapa berperanan penting dan bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya. Antara peranan tersebut termasuklah tanggungjawab bapa memberi nafkah dan menyediakan keperluan asas kepada anak-anak.

Ia merangkumi menyediakan pendidikan yang baik untuk membina sikap beragama dan berilmu bagi anak-anak, menyediakan perbelanjaan untuk makanan yang mencukupi, berkhasiat dan seimbang sesuai dengan tumbesaran anak-anak, menyediakan pakaian yang sesuai dan layak dipakai oleh anak-anak serta menyediakan kediaman atau rumah yang sesuai dan layak dihuni oleh anak-anak, juga perbelanjaan yang melibatkan penjagaan kesihatan anak-anak.

Selain itu, bapa juga berperanan dalam membentuk akhlak anak-anak. Contoh teladan yang baik akan ditiru dan diikuti oleh anak-anak. Ini disebabkan bapa adalah sebahagian daripada pencorak karakter dan perlakuan anak-anak kerana merekalah agen sosialisasi primer.

Dalam masa yang sama, kehadiran bapa juga dapat menjadi pelindung dan penguat emosi anak-anak. Anak-anak dapat membesar dengan penuh kasih sayang, yakin diri dan rasa selamat di bawah jagaan seorang bapa.

Dalam keadaan ini, bapa berperanan dalam membentuk keluarga yang baik dan membawa mereka untuk masuk ke syurga.

Pada masa kini, tidak dapat dinafikan, terdapat segelintir bapa yang melarikan diri daripada tanggungjawab, melakukan penderaan serta kekerasan dalam rumah tangga, juga mengabaikan nafkah-nafkah dan kasih sayang terhadap anak-anak.

Sebagai anak, kita sentiasa berhutang dengan bapa akan titisan-titisan keringatnya dalam mencari nafkah buat keluarga. – Gambar hiasan

Mereka dengan rasa tidak bersalah telah berlepas tangan dan membiarkan isteri atau mantan isteri membesarkan anak-anak tanpa peranan seorang bapa. Sedangkan pengabaian ini termasuk dalam dosa.

Namun begitu, apa yang menyedihkan dalam masyarakat kini, jasa bapa sering kali dilupakan. Bapa tidak dihormati dan disayangi oleh anak-anak, malah dalam sesetengah kes, bapa mengalami pengabaian dan penderaan.

Terdapat anak yang tergamak membuang bapanya kerana tidak mahu menjaga mereka. Bapa yang telah tua dan uzur dianggap sebagai tidak berguna dan membebankan.

Selain itu, ada bapa yang ditempatkan dan dibiarkan terus di tempat penjagaan warga emas. Bagi anak-anak yang berkerjaya, kesibukan dengan rutin harian dan keluarga mereka menyebabkan si bapa terabai.

Asasnya, bapa mempunyai kedudukan yang mulia dalam Islam. Dalam al-Quran, Allah SWT telah memerintahkan para anak agar berbuat baik, tidak berkasar dan berkomunikasi dengan sopan santun dengan ibu bapa, terutama ketika usia mereka telah tua.

Bapa adalah insan yang telah berkorban tenaga dan masa untuk mencari nafkah demi memenuhi kebajikan keluarga.

Bahkan ketika membesarkan anak-anak, bapa telah mengerah keringat siang dan malam untuk mencukupkan keperluan anak-anak di rumah. Hinggakan bapa jarang ada di rumah kerana keluar mencari rezeki. Bapa juga adalah susuk yang kuat dan tidak pernah mengeluh atas susahnya kehidupan dan mencari rezeki.

Secara keseluruhannya, bapa adalah tulang belakang keluarga dalam mencari nafkah demi kesejahteraan dan kestabilan keluarga.

Tanggungjawab ini melibatkan banyak aspek kehidupan keluarga, daripada menyediakan keperluan asas sehinggalah memastikan kesihatan dan pendidikan anak-anak terjaga.

Pengorbanan dan usaha bapa dalam mencari nafkah harus dihargai oleh setiap ahli keluarga.

Oleh itu, hargailah dan sayangilah bapa, kerana tanpa usaha dan pengorbanan mereka, kesejahteraan dan kebahagiaan keluarga tidak dapat dicapai.

Justeru, ketika mempunyai kesempatan untuk berbakti semasa bapa masih hidup, maka manfaatkanlah peluang yang diberikan oleh Allah SWT.

Berbuat baiklah, ambil berat tentang diri mereka, bertanya khabar dan keadaan kesihatan mereka, ambil tahu urusan makan dan minum mereka serta pelbagai bentuk khidmat yang diperlukan.

Namun, jika bapa telah meninggal dunia, anak-anak masih lagi dapat meneruskan kebaktian buat mereka dengan melakukan amal kebajikan, sedekah dan kiriman doa.

Jelasnya, sebagai anak, kita sentiasa berhutang dengan bapa akan titisan-titisan keringatnya dalam mencari nafkah kepada keluarga dan membesarkan anak-anak.

Walaupun jasa bapa tidak mampu dibalas sepenuhnya, namun jadilah anak yang terbaik dalam berkhidmat kepadanya.

Jangan hanya membataskan sehari untuk meraikan bapa seperti Hari Bapa baru-baru ini, sebaliknya jadikan setiap hari sebagai hari yang penuh bermakna kerana dapat berkhidmat dan membahagiakan bapa hingga ke akhir hayat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN