fbpx
Pemandangan di Gunung Baling dan Sungai Ketil yang indah dalam daerah Baling.

Khazanah alam semula jadi nadi ekopelancongan Baling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING sememangnya kaya dengan khazanah alam yang sehingga kini menjadi tarikan utama kepada orang luar untuk berkunjung ke daerah itu di negeri Kedah.

Paling menarik perhatian ialah Gunung Baling yang terletak dalam kawasan Pekan Baling selain Gunung Pulai. Dua gunung batu kapur itu bersambung dalam satu jajaran sama dan menjadi aset paling bernilai penduduk di situ. Khazanah alam ini sangat penting kerana ia bagaikan ‘nyawa’ kepada sebahagian besar penduduk tempatan yang mencari rezeki sebagai penggiat industri pelancongan.

Mereka antaranya peniaga makanan, malim gunung, pengusaha inap desa dan tapak perkhemahan.

Jaringan Sungai Ketil dengan pemandangan indah Gunung Baling menjadikan pemandangan di situ ‘mahal’, bahkan satu lokasi di situ dikatakan ‘mini Kashmir’ kerana terasa bak berada di Kashmir, India.

Selain itu, peminat sukan ekstrem juga berpeluang mendaki Gunung Baling dan Gunung Pulai, selain menikmati panorama indah dan unik sekurang-kurangnya 16 gua seperti Gua Kelambu, Gua Sireh dan Gua Landak.

Destinasi popular lain antaranya Air Terjun Lata Bayu, Kolam Air Panas Ulu Legong dan aktiviti berkayak di Sungai Baling.

Menurut malim gunung, Muhammad Baha Mohd. Roslan, Baling yang merupakan daerah kedua terbesar selepas Sik menjadi salah satu destinasi ekopelancongan di negeri Jelapang Padi itu.

“Baling menjanjikan suasana damai kampung dengan pemandangan sungai dan gunung sangat indah. Bagi pencinta alam semula jadi dan mereka yang gemar aktiviti sukan lasak seperti mendaki gunung, Baling ialah tempatnya.

“Orang sekarang ini lebih kepada mahu ‘healing’ yang mana Baling juga jadi makin popular apabila ramai yang memuat naik pengalaman beriadah di sini di media sosial,” katanya.

Ujar Muhammad Baha, 29, kelestarian khazanah alam seperti gunung dan jaringan sungai sangat penting bagi memastikan Baling terus ‘hidup’ serta berdaya untuk menarik kedatangan pelancong.

“Jika rosak gunung dan sungai-sungai di sini, tiada apa lagi yang dapat ditawarkan kepada orang di luar sana, selain kami sebagai penduduk tempatan di sini berisiko kehilangan sumber pendapatan.

“Disebabkan itu, kami membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan melakukan projek kuari di sini,” tegasnya.

Jelasnya, pendakian ke puncak Gunung Pulai yang berketinggian 620 meter (m) memakan masa kira-kira tiga jam, manakala Gunung Baling setinggi 546m pula sekitar dua jam 30 minit.

“Lebih ramai yang memilih Gunung Baling kerana terdapat trek pendakian berbanding Gunung Pulai yang lebih mencabar,” katanya sambil memberitahu terdapat kira-kira 40 malim gunung di situ.

Tambahnya, selain pendaki tempatan, dia juga menawarkan khidmat kepada ramai pelancong asing antaranya dari Filipina, Taiwan, Jepun dan Itali.

Pemilik Warung Mat Noi Roti Bakar di Pekan Baling, Muhamad Noor Mohd. Zahari pula berkata, Gunung Baling dan Gunung Pulai beserta jaringan sungai ibarat nadi kepada sektor ekopelancongan di Baling.

“Baling yang bersempadan dengan negeri Perak suatu ketika dahulu menjadi laluan utama ke Pantai Timur dari utara. Namun, selepas ada Lebuh Raya Timur Barat, kawasan Pekan Baling ini tidak lagi dilalui pengguna jalan raya yang mahu ke Pantai Timur dan hampir menjadi pekan mati. Apa yang menjadi tarikan di Baling sekarang ini adalah khazanah alam dan juga sejarahnya,” katanya.

Sungai Ketil di Kampung Lubuk Pedati sentiasa dipenuhi oleh pengunjung terutama pada musim cuti perayaan dan hujung minggu.

Katanya, kawasan Pekan Baling juga unik apabila terletak di kaki Gunung Baling dengan semua kemudahan mudah didapati di situ.

“Bagi pelancong, mereka boleh datang meneroka gunung, gua dan sungai di sini dan pada masa sama menikmati banyak kemudahan di pekan ini seperti premis perniagaan, bank dan penginapan,” jelasnya.

Malah katanya, restorannya yang berlatarbelakangkan Gunung Baling menjadi persinggahan kumpulan konvoi bermotosikal yang mahu ke Betong, Thailand menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu di Perak.

“Ada yang sekadar singgah dan ada yang bermalam di sini sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing. Kita berharap sektor ekopelancongan di Baling terus rancak, seterusnya dapat menarik kunjungan pelancong untuk tinggal di sini lebih lama,” kata Muhamad Noor.

Jelasnya, selain khazanah alam semula jadi, Baling juga kaya dengan sejarah seperti Rundingan Baling pada Disember 1955 yang merupakan detik bersejarah dalam usaha menamatkan pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM).

Muhamad Noor, 47, yang merupakan penduduk tempatan turut membantah sebarang projek kuari baharu di situ.

Ujarnya, dia difahamkan beberapa cadangan untuk membangunkan projek kuari di gunung berkenaan sebelum ini dibatalkan selepas mendapat bantahan daripada penduduk setempat.

“Itulah sahaja ‘harta’ yang kami ada, jika ia pun mahu direbut musnahlah keindahan Baling. Sebagai penduduk, kami harap kerajaan negeri akan dapat terus mempertahankan kelestarian alam semula jadi di sini,” katanya.

Sebelum ini, satu cadangan projek kuari baharu berdekatan Gunung Pulai dibantah penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dengan lebih 12 siri bantahan termasuk menghantar memorandum kepada pihak kerajaan negeri sejak 2018.

Projek tersebut selepas itu ditangguhkan dan dilaporkan akan dipindahkan ke kawasan lain sebagai alternatif.

Kata pengurus inap desa di Kampung Lubuk Pedati, Zaiton Saman, 55, tarikan utama inap desa di situ ialah pemandangan Gunung Baling dan aliran Sungai Ketil yang jernih.

“Kawasan peranginan di Baling termasuk di Kampung Lubuk Pedati semakin meriah dengan kunjungan pelancong terutama pada cuti hujung minggu dan perayaan.

“Kebiasaannya kawasan ini memang penuh dengan pelancong yang mahu beriadah dan menikmati pemandangan indah dan suasana sejuk di sini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN