PETALING JAYA – “Setiap kali tiba tarikh 17 Mac selama 27 tahun, tak pernah sekali pun emak lupa mendoakan kamu.”
Demikian kata-kata pertama yang diluahkan P. Murugamah terhadap anak kandungnya, Nurhidayah Abdullah selepas mereka terpisah selama 27 tahun.
Dua beranak itu bertemu semula dalam pertemuan penuh emosi di rumah Murugamah di Hulu Langat pada Sabtu lalu.
Penyatuan semula dua beranak berbeza agama itu mendapat perhatian ramai selepas rakan sekerja Nurhidayah, 27, memuat naik video di TikTok.
Menerusi video yang dimuat naik Atilia, jelas terpancar kerinduan pada wajah Nurhidayah dan Murugamah, 51, apabila mereka bertentang mata dan berpelukan sambil menangis.
Nurhidayah berkata, sehinga sekarang dia sukar percaya dapat bertemu semula dengan wanita yang melahirkannya pada 17 Mac 1997 sebelum diserahkan kepada pasangan Melayu iaitu Jamilah Mohammad, 57, dan Omar Ismail, 62, untuk dijaga dua hari kemudian.
“Saya dimaklumkan 27 tahun lalu keluarga kandung saya menghadapi masalah. Emak dan ayah saya berpisah.
“Emak tidak mampu menjaga saya jadi dia mahukan yang terbaik untuk kehidupan saya.
“Pada awalnya, emak hendak serahkan saya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Pada masa sama, datuk kenal pasangan Melayu yang sedang mencari anak angkat kerana tiada anak selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga.
“Biarpun berbeza agama, keluarga angkat menerima saya dan dijaga dengan penuh kasih sayang,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Jelas gadis itu, keluarga angkat tidak pernah menyembunyikan perkara tersebut sejak dia kecil.
“Sebelum ini saya tidak pernah terfikir hendak mencari mereka (keluarga angkat) kerana dendam. Kenapa emak buang dan tidak jaga saya?
“Minggu lepas secara tiba-tiba saya rasa seperti hendak tahu di mana ibu (kandung) berada. Satu hari saya balik kampung dan tengok sijil lahir kemudian saya buat semakan melalui sistem Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengetahui alamat terkini,” katanya.
Nurhidayah mengakui dia mengambil masa beberapa hari untuk berjumpa ibu kandungnya.
“Pada pukul 1 tengah hari, Sabtu lalu, saya ajak Kak Lia (kawan) untuk teman. Kami lalu di hadapan sebuah rumah dan saya nampak sosok seorang wanita yang saya rasa itu adalah emak (kandung) saya.
“Terasa kaku seketika, Kak Lia kemudian menyerahkan surat yang saya karang sehari sebelum itu kepada wanita tersebut. Ternyata dia adalah emak kandung saya, syurga yang saya perlukan selama ini,” luahnya.
Ditanya perancangan selepas ini, gadis itu memberitahu, dia bercadang untuk membawa keluarga angkat bertemu ibu kandungnya selepas pertemuan terakhir kira-kira 27 tahun lalu.














