fbpx
WALLY merupakan seekor haiwan peliharaan terkenal dan aksinya sering menarik perhatian ramai.

Mana hilangnya Wally?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA perlukan segala pertolongan yang boleh agar Wally dapat ditemukan semula,” ciap seorang lelaki warga emas dari Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) di media sosial yang sedang mencari ‘anaknya’ yang hilang sejak April lalu.

Sehingga hari ini, Joie Henny, 71, masih belum putus asa untuk mencari Wally, seekor aligator peliharaan sokongan emosi miliknya yang dianggap umpama anak sendiri meskipun peluang untuk menemuinya amat tipis.

Wally atau nama samarannya WallyGator menjadi antara berita hangat di Amerika Syarikat kala ini yang mana insiden kehilangan haiwan popular itu dilaporkan banyak media termasuk CNN, USA Today dan lain-lain.

Di AS, pada masa ini terdapat 115,832 haiwan peliharaan yang didaftarkan sebagai ‘haiwan sokongan emosi’ (emotional support animal) dan Wally merupakan salah satu daripadanya.

Aligator popular itu cukup dikenali di Pennsylvania dan pernah tercalon untuk dimahkotakan America’s Favourite Pet.

Wally mempunyai ramai peminat. Apabila Henny bersiar-siar dengannya dan membawa haiwan itu ke luar, ia sering menjadi tarikan. Khalayak turut kelihatan memegang dan menciumnya.

Menurut Henny, dia yakin bahawa Wally, 8, dapat ditemui kerana haiwan itu merupakan seekor aligator jinak dan masih berada di dalam kawasan terakhir ia hilang.

“Sehingga hari ini masih belum ada petunjuk di mana Wally dan setiap hari saya tidak pernah putus asa mencarinya,” katanya.

Berkongsi kisah kejadian, Henny ketika itu berkunjung ke rumah kawannya di Brunswick, Georgia untuk pergi memancing.

Ketika Henny dan rakannya keluar memancing, Wally ditinggalkan di belakang halaman rumah yang dikelilingi pagar dengan sebuah kolam kecil untuk ia berendam.

Sepulang ke rumah rakannya dari perjalanan memancing semalaman di luar pantai Pulau Jekyll pada pukul 4 pagi keesokan harinya, Henny terus memeriksa Wally dan mendapati haiwan itu sedang berehat di dalam air.

“Pintu pagar semua tertutup, segala-galanya kelihatan baik kemudian saya masuk ke dalam untuk berehat sebentar.

“Awalnya saya mahu Wally masuk, tetapi ia enggan, lebih suka tinggal di dalam kolamnya, seingat saya Wally ketika itu berendam di dalam air dan meniup buih,” kongsinya.

Ceritanya lagi, ketika terjaga kira-kira tiga jam kemudian dan keluar untuk melihat Wally. Dia memanggilnya, tetapi haiwan itu tidak menjawab dan selepas diperiksa ia sudah tiada.

Saat itu dia cuba mencari di sekeliling kawasan rumah tetapi masih tiada.

WALLY merupakan seekor haiwan peliharaan terkenal dan aksinya sering menarik perhatian ramai.

“Saya cuba berjalan di sekeliling kandang untuk melihat sama ada terdapat tanda-tanda Wally telah melarikan diri.

“Tiada jejak apa-apa pun, malah ada beberapa rumput tinggi di belakang rumah dan tiada jejak ia melalui kawasan itu kerana jika ada, pasti ada kesan kerana Wally mempunyai berat kira-kira 31.7 kilogram,” ujarnya.

Tambahnya, dia tidak melihat sebarang jejak Wally di pasir di luar pintu pagar dan tiada tanda-tanda bahawa Wally telah memanjat pagar.

Jelasnya, dia percaya Wally telah diculik oleh budak-budak nakal yang menggunakan haiwan itu untuk menakutkan jiran tetangga.

Pennsylvania tidak melarang aligator sebagai haiwan peliharaan, namun sebaliknya undang-undang Georgia memerlukan lesen atau permit khas. Jadi, Henny masih berada di Georgia untuk mendengar khabar daripada pihak berkuasa sekiranya ada aligator tidak diketahui tuannya ditemui.

Henny yakin Wally tidak dapat hidup di alam liar di dunia luar.

Katanya, dia sangat mengenali Wally kerana dia sudah memeliharanya sejak reptilia itu berumur setahun lebih dan hanya 20 inci panjang.

Henny memperoleh haiwan itu dari Florida, di mana di situ terdapat ‘limpahan buaya’ dan haiwan itu dianggap mengganggu dan sering dimatikan atau dikurung.

Sepanjang memelihara Wally, Henny sering mendapat kritikan kerana orang tidak tahu cerita di sebalik segala-galanya mengapa dia memilih untuk berteman dengan seekor aligator.

Malah kongsinya, Wally telah memberikan persahabatan dan sokongan emosi sepanjang Henny melalui rawatan radiasi kerana kanser prostat serta beberapa detik sukar kehilangan ahli keluarga.

“Wally membahagiakan saya. Ia tidur bersama saya, curi bantal dan selimut saya. Ia sangat hebat.

“Ia tidak pernah menunjukkan marah atau agresif. Ia tidak begitu sejak hari pertama saya menangkapnya. Saya tidak tahu mengapa,” ujarnya.

Wally miliki lebih 145,000 pengikut di TikTok, 35,000 di Instagram dan 10,000 di Facebook. Ia juga merupakan rujukan visual untuk Alligator Loki dalam rancangan Disney+ Loki.

Di sosial media juga terdapat banyak perkongsian haiwan itu berkisar tentang sokongan emosi yang diberikan haiwan itu di sekitar Pennsylvania.

Antaranya, melawat rumah-rumah jagaan, bersiar-siar di taman, bertemu dengan datuk bandar dan sebagainya.

Wally sangat manja dan suka digosok dagunya, diberi pelukan dan tidak menggigit apabila orang mendekatinya.

Wally pernah mendapat sorotan media pada tahun lalu selepas ia tidak dibenarkan masuk ke satu acara permainan Philadelphia Phillies.

Menurut Citizens Bank Park, mana-mana haiwan, kecuali anjing perkhidmatan, adalah dilarang untuk memasuki kawasan stadium.

“Wally telah menyertai permainan besbol lain, jadi kami menganggap bahawa kali ini mungkin tiada masalah.

“Kami tidak pernah bertanya atau menyemaknya, tetapi mereka hanya benarkan haiwan perkhidmatan, bukan haiwan sokongan emosi,” jelasnya.

Sehingga hari ini misi mencari Wally masih diteruskan, malah Henny juga bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk media tempatan dan persatuan pencinta haiwan untuk menemuinya.

Henny juga menawarkan wang ganjaran sehingga RM14,130 kepada sesiapa yang dapat memberikan informasi tentang keberadaan haiwan kesayangannya itu.

Sehingga hari ini, hampir 400 orang telah menderma lebih daripada RM47,100 kepada pengumpulan dana dalam talian yang menyokong ‘kos perjalanan, kos nasihat dan kemungkinan kos perundangan dan veterinar’ berkaitan kehilangan Wally.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN