fbpx
EMPAT dekad penuh suka duka dan ranjau kehidupan, segala-galanya bakal terangkum di atas sebuah pentas dinamakan Journey Awie, sebuah konsert solo bintang rock juga vokalis Wings itu pada 3 Ogos ini.

Bukan tagih simpati tetapi prihatinlah – Awie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELAKU vokalis kumpulan rock legenda Wings dan pelakon yang sering mencuit hati penonton, Datuk Awie kekal di papan atas, figura yang amat disegani dalam industri seni sementelah miliki pengalaman empat dekad lamanya.

Meski terlihat sudah ‘masak’ dengan asam garam dunia hiburan, hakikatnya, pemilik nama sebenar, Ahmad Azhar Othman, 56, menyifatkan bukan mudah untuk menjadi seorang anak seni.

Biar berderet anugerah dan pencapaian yang telah dicapai, namun tugas selaku seorang penyanyi dan pelakon menyebabkan Awie terpaksa berkorban dan terlepas banyak perkara dalam kehidupannya.

“Selain berkorban masa dan kasih sayang, orang tidak tahu kesedihan yang dibawa ketika saya menyanyi di atas pentas.

“Sebagai penghibur walaupun saya sedih, saya tetap perlu menyanyi, tersenyum dan menghiburkan peminat,” tutur Awie.

Akui Awie, momen paling gelap kehidupannya adalah sewaktu arwah ibunya, Azizah Abd. Hamid meninggal dunia pada Disember 2014.

Ketika itu, Awie sedang sibuk dengan pementasan teater Takhta 3 Ratu, terbitan dan arahan Erma Fatima.

AWIE akan menzahirkan segala keluh resah dan kesakitan yang dirasai sepanjang kembara seni sejak empat dekad lalu menerusi konsert solo terakhirnya, Journey Awie pada 3 Ogos nanti. – IQBAL ROSLI

“Momen paling saya tidak dapat lupakan adalah ketika arwah ibu meninggal dunia. Arwah ibu meninggal dunia hari ini, saya diberi rehat sehari untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak.

“Esoknya, saya perlu naik ke atas pentas dan menghiburkan penonton. Bayangkan emosi saya ketika itu yang belum stabil, tetapi perlu bekerja dan tersenyum kerana tugas,” kongsi Awie.

Justeru, Awie terpanggil untuk mengetengahkan isu keluhan seorang anak seni dalam konsert solo terakhirnya, Journey Awie yang akan berlangsung di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumput pada 3 Ogos nanti.

“Penyanyi, pelakon dan penghibur juga seorang manusia biasa yang ada hati dan perasaan. 

“Tidak ada orang yang tahu cabaran dan pengorbanan yang perlu dilakukan demi menghiburkan orang ramai.

“Saya sendiri ketika sakit akibat santau dan kesihatan terganggu kerana ada tumor buah pinggang, selain masalah kaki bengkak, sewaktu di atas pentas tiada orang yang tahu saya sedang sakit, itulah pengorbanan.

“Saya bukan mahu menagih simpati tetapi hanya mahu kenang dan beritahu penonton, supaya ada sedikit keprihatinan tentang perasaan seorang anak seni,” tutur Awie.

PADA usia 56 tahun, Awie sebenarnya bakal menyambut kelahiran anak ketujuh pada awal bulan depan.

Konsert solo

Berbicara tentang konsert Journey Awie, bintang filem Hantu Kak Limah Balik Rumah itu menjelaskan, persiapan kali ini berbeza mengikut konsep yang ingin diketengahkan.

Untuk Journey Awie, konsepnya adalah kombinasi monolog dan persembahan teaterikal sempena 30 tahun perjalanan karier solo Awie.

“Seratus peratus idea untuk konsert solo ini datangnya daripada saya. Saya harus memilih lagu dan konsep. Berbeza jika persiapan konsert kumpulan Wings yang pasukannya lebih besar.

“Biasanya saya akan serahkan soal pemilihan lagu kepada anggota lain dan buat pemeriksaan pada saat akhir sahaja. Tetapi konsert solo semuanya saya buat sendiri, jadi kerja lebih banyak,” kata Awie.

Sambung Awie, selain pendedahkan ‘rahsianya’ menerusi lakonan dan segmen ‘tribute’ konsert selama dua jam setengah tersebut akan dihiburkan Awie secara solo tanpa seorang pun penyanyi jemputan.

“Bukan tidak mahu undang penyanyi lain, tetapi bagi saya lebih puas dan fokus jika penonton beri perhatian kepada saya seorang.

“Tambahan pemuzik yang akan mengiringi konsert saya kali ini adalah yang terbaik di Malaysia iaitu Rozario selaku pengarah muzik bersama Ujang, Riz, Fly, Paan dan Addy Cradle,” jelasnya.

Dalam pada itu, penjualan tiket konsert solonya mendapat sambutan hangat apabila beberapa kategori iaitu Silver, Gold dan Platinum telah habis dijual sehingga menyebabkan pihak penganjur TruePixel Sdn. Bhd. terpaksa menambah kategori baharu iaitu Ruby.

“Apa yang pasti saya mahu penonton yang datang, pulang dengan rasa puas hati dan gembira dengan konsert solo terakhir saya.

“Sekarang saya telah mula menjalani latihan. Mulanya terdapat 60 buah lagu yang dipilih tetapi dikurangkan menjadi sekitar 36 buah lagu. Selepas ini tiada lagi konsert solo saya sebaliknya semua akan bersama Wings sahaja,” tutur Awie.

EMPAT dekad dalam industri, Awie mengakui hakikat kesukaran untuk kekal sebagai penghibur.

Keluarga

Beralih tentang kehidupan keluarga, Awie teruja bakal menimang cahaya mata ketujuh juga anak kedua bersama isteri Datin Sharifah Ladyana, 35, pada Julai ini.

Sungguh pun begitu, Awie mendedahkan jadual kerjanya yang begitu padat menyebabkan beliau banyak terlepas momen istimewa bersama isteri dan anak-anak.

Malah, pada tarikh isterinya bakal bersalin kelak Awie berada di Kelantan atas urusan kerja.

“Sedih sebenarnya jadi saya kerana banyak terlepas momen penting keluarga. Contoh isteri saya akan melahirkan anak pada 7 Julai ini, dalam jadual saya bekerja di Kelantan.

“Jadi, saya harus bergegas pulang selepas kerja pada 6 Julai itu untuk berada di hospital sekitar 8 pagi. 

“Jika tidak saya akan terlepas proses kelahiran,” kongsi Awie.

Tambah Awie, selepas empat dekad bekerja keras, beliau kini sedar, keluarga dan masa bersama anak lebih penting berbanding karier.

“Saya sendiri tersedar dan tertanya-tanya, bapa jenis bagaimanakah saya dengan anak-anak?

“Saya tiada masa berbual, tolong menyiapkan kerja sekolah dan mendengar masalah mereka.

“Saya keluar pagi dan pulang lewat malam. Adakalanya tidak pulang berminggu-minggu kerana penggambaran di luar daerah.

“Saya fikir kembali apakah yang saya kejarkan? Rasanya sudah cukup saya bekerja teruk kerana pada akhirnya saya mencari rezeki untuk anak-anak, tetapi saya tiada langsung waktu bersama mereka.

“Selepas ini, saya akan membahagikan masa dengan baik dan mengurangkan kerja. Saya mahu masa bersama keluarga dan diri sendiri,” luah Awie.

Awie sebelum ini sudah memiliki dua anak perempuan, Putri Aleeya Antasha, 24, dan Putri Aleefa Antasha, 22, menerusi perkahwinan pertama, manakala dalam perkahwinan kedua, beliau dikurniakan tiga orang anak, Putra Ahmad Merrah, 17, Putra Ahmad Rezzki, 16, dan Putri Qasseh, 14. Mereka bercerai pada 2014.

Sementara menerusi perkahwinan ketiga bersama Datin Sharifah Ladyana, Awie dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Ahmad Andeeka, 3, dan bakal menimang cahaya ketujuh Julai ini.

AWIEDE bersama barisan pemuzik yang bakal mengiringi dan menjayakan konsert solonya menjelang Ogos nanti.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN