KUALA NERANG – Durian kampung dari daerah Padang Terap, di sini didakwa mempunyai keistimewaan tersendiri dan mendapat sambutan tinggi daripada peminat raja buah itu.
Menurut pemilik dusun durian di Kampung Jelutong, di sini, Ahmad Man, 70, jualan buah dari dusunnya laris sejak buah luruh pada hujung bulan lalu.
“Durian kampung dari daerah Padang Terap ini ada peminatnya, mereka pasti akan datang untuk menikmati durian dari dusun di sini.
“Mereka puji durian di sini rasanya lebih lemak dan sedap berbanding buah dari luar. Itulah yang pelanggan yang akan kata setiap kali rasa durian dari dusun saya,” katanya ketika ditemui di dusunnya di sini semalam.
Katanya, dia mengenali durian kampungnya dengan nama tertentu seperti jantung, bongkok, itik, hijau, badak dan berangan.

“Pokok durian dengan ada yang berusia lebih 100 tahun ini diberi nama oleh arwah datuk saya dahulu,” ujarnya.
Jelas Ahmad, dia menjual durian kampung itu pada harga RM8 sekilogram (sekg) pada musim ini.
“Musim ini banyak dusun durian tidak menjadi akibat musim kemarau selama kira-kira tiga bulan sebelum ini. Hasil dari dusun saya pada musim ini menurun kepada kira-kira 1,000 biji berbanding lebih 3,000 biji semusim sebelum ini,” ujarnya.
Tambahnya, durian ini berlemak kerana ditanam kawasan berselut.
Sementara itu, peniaga durian, Jaafar Bakar, 62, turut mengakui durian dari Padang Terap lebih sedap dan mempunyai peminat dari negeri-negeri lain.
“Saya berniaga durian ini sejak usia 12 tahun lagi dan durian dari Padang Terap ini memang laku, walaupun ada peniaga yang jual buah dari luar seperti dari Batu Kurau, Perak.
“Hari ini saya jual durian kampung pada harga RM10 sekg, manakala durian jenis durian hitam RM50 sekg, musang king RM40 sekg serta ceni RM20 sekg dan tangkai panjang RM15 sekg” katanya.
Ujarnya, bekalan durian untuk jualan pada musim ini hanya antara 500kg hingga satu tan saja.














