PADA 5 Disember tahun lalu, negara dikejutkan dengan berita kehilangan kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin di kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor.
Keesokan harinya, kira-kira pukul 10 malam, Zayn Rayyan ditemukan sudah tidak bernyawa di anak sungai kira-kira 100 meter dari kediaman keluarga mangsa.
Zayn Rayyan disahkan telah dibunuh selepas menemukan kesan kecederaan pada tubuh badan mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pelbagai usaha siasatan telah dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mencari pembunuhnya.
Sehinggalah 1 Jun lalu, ibu bapa Zayn Rayyan direman bagi membantu siasatan.
Pada 14 Jun, ibu bapa Zayn Rayyan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mengabaikan mangsa sehingga menyebabkan kematian.
Pertuduhan mengikut seksyen ini mengejutkan rakyat dan ramai bertanya kenapa tidak dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mengulas mengenai persoalan ini, seorang peguam, Nor Zabetha Mohamad Nor berkata, setakat ini pembuktian yang ada bagi kes Zayn Rayyan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Katanya, polis masih belum mendapat bukti yang kukuh untuk sabitkan kesalahan mengikut standard pembuktian di mahkamah bagi Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Di Malaysia, ada juga kes yang asalnya disiasat bawah seksyen lain dan kemudian, apabila ke mahkamah didakwa bawah Seksyen 302.
“Ambil contoh dalam kes Senggutuwan Chandra Segaran lawan Pendakwa Raya [2018] 1 LNS 305.
“Pada asalnya kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu.
“Kemudiannya di mahkamah, didakwa di bawah Seksyen 302 dan Seksyen 307 (cubaan membunuh),” katanya.
Jadi apa sebab Senggutuwan, pada asalnya daripada kesalahan di bawah APJ, tetapi dituduh di bawah Seksyen 302 dan 307.
Faktanya, pada 25 Mei 2013, lebih kurang pukul 11 malam, di kawasan Gopeng, Perak, suspek cuba melarikan diri daripada dikejar polis kerana dikehendaki polis berhubung satu kes rusuhan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Sampai ke satu kawasan, kereta Senggutuwan dihalang khemah majlis perkahwinan sebelum suspek merempuhnya sehingga seorang mangsa maut.
Dalam kes ini, peguam Senggutuwan berhujah bahawa pada asal siasatan di bawah Akta Jalan Raya, namun tiba-tiba disabit pula bawah Seksyen 302 dan Seksyen 307.
Mahkamah berpendapat dalam kes ini elemen- elemen yang perlu dibuktikan di bawah Seksyen 302 telah berjaya dipenuhi oleh pihak pendakwaan secara prima facie.
Hakim menjatuhkan hukuman mati mandatori bagi pertuduhan di bawah Seksyen 302 dan 10 tahun penjara bagi kedua-dua pertuduhan di bawah Seksyen 307.
Maka boleh jika disiasat di bawah seksyen lain, tuduh seksyen lain. Biarlah mahkamah yang tentukan mengikut nas undang-undang. Keadilan buat Zayn Rayyan.














