PETROL dan diesel merupakan antara keperluan yang sangat sinonim dengan masyarakat terutamanya buat pemilik kenderaan bermotor.
Turun naik harga bahan api itu juga memberi pengaruh besar terhadap kos sara hidup dan perancangan kewangan rakyat.
Tidak hanya itu, harga bahan api turut mempunyai pengaruh besar terhadap landskap ekonomi, pilihan pengguna dan strategi tenaga negara.
Faktor seperti cukai, subsidi, ketegangan geopolitik dan peraturan alam sekitar membentuk kos bahan api dengan ketara.
Bagaimanapun, kenaikan harga bahan api memberi kesan segera kepada setiap sektor terutamanya sistem pengangkutan, sekali gus menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Di Malaysia, harga bahan api masih dikategorikan antara paling rendah di dunia jika dibandingkan dengan beberapa negara lain yang mengenakan harga lebih tinggi.
Berdasarkan rujukan laporan Global Petrol Prices, Panorama kali ini menyenaraikan lima negara dengan harga bahan bakar termahal di dunia.
1. Hong Kong – RM14.94 seliter
Hong Kong ialah wilayah pentadbiran khas China dan mempunyai harga petrol tertinggi di dunia iaitu RM14.94 seliter.
Harga bahan api diletakkan pada kadar tersebut disebabkan negara Asia itu tidak mempunyai kemudahan penapisan minyak dan perlu diimport.
Semua produk minyak bertapis tempatan berasal dari Singapura. Petrol yang dihasilkan kemudiannya diangkut ke Hong Kong dan disimpan di depoh minyak di Tsing Yi. Ini kerana, kos pengangkutan kapal lebih tinggi daripada kos darat.
Disebabkan sewa depoh minyak yang tinggi, terdapat empat syarikat minyak di Hong Kong yang mengimport petrol dari Singapura iaitu Shell, Caltex, Sinopec dan Esso.
Kedua-dua PetroChina dan Feoso Oil membeli produk petroleum ditapis daripada empat syarikat minyak ini.
Di samping itu, kos untuk membuka stesen minyak adalah mahal kerana harga tanah di Hong Kong sangat tinggi dan tanah yang dilelong kepada syarikat minyak hanya diberi hak untuk digunakan selama 21 tahun, bukannya pemilikan tetap.
2. Monaco – RM10.80 seliter
Monaco menjadi negara kedua dengan bahan api termahal dengan harga bahan api RM10.80 untuk setiap liter.
Disebabkan saiz negara yang kecil dan keluasan tanahnya terhad, Monaco banyak bergantung kepada barangan import.
Ini termasuk bahan api yang menyumbang kepada kenaikan harga dan kos sara hidup lebih tinggi.

3. Denmark – RM10.60 seliter
Denmark terkenal dengan harga bahan api yang agak tinggi dan berada di tangga ketiga dengan harga petrol RM10.60 satu liter.
Antara sebab bahan api mahal di negara ini adalah kadar cukai tinggi yang dikenakan oleh kerajaan Denmark untuk petrol dan diesel.
Cukai ini bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api berlebihan dan mempromosikan alternatif mesra alam.
Denmark juga mengutamakan kualiti, menawarkan cadangan nilai yang bersandar kepada kemampanan dan ketahanan.
4. Iceland – RM10.50 seliter
Walaupun populasinya kecil, namun Iceland mempunyai harga bahan api yang tinggi kerana lokasinya yang terpencil dan bergantung kepada import.
Dengan harga bahan api pada RM10.50 seliter, Iceland menjadi negara keempat dengan harga bahan api yang tinggi.
Meskipun begitu, ekonomi di Iceland banyak dipengaruhi oleh cukai kerajaan, jadi kos bahan api cenderung agak stabil.
Bagaimanapun, penduduk di negara itu boleh mendapatkan bahan api pada harga lebih rendah menerusi beberapa stesen minyak yang menawarkan diskaun kepada pemegang kadnya.
5. Belanda – RM10.30 seliter
Belanda menjadi negara kelima dengan harga bahan api tertinggi di dunia iaitu pada harga RM10.30 seliter.
Harga ini dipengaruhi oleh kadar cukai tinggi dan peraturan alam sekitar yang menyumbang kepada bahan api mahal di negara itu.
Selain itu, harga minyak di Belanda berkait dengan keadaan semasa di Ukraine.
Ini kerana, jika Belanda tidak lagi menerima sumber bahan api dari Russia, keadaan mungkin menjadi lebih serius.














