MARAN – Siapa sangka bunyi kuat yang menggemparkan penduduk Kampung Kuala Wau di sini kelmarin berpunca daripada sebatang pokok tualang berusia 500 tahun yang tumbang.
Usia pokok tualang selama lima abad itu diiktiraf oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang membuat penyelidikan berdasarkan faktor lapisan kulit pokok tersebut.
Oleh itu, pokok tualang menjadi ikon di kampung tersebut.
Ketua Kampung Kuala Wau, Mohd. Zurin Md. Jais, 59, berkata, hakisan tanah dan perdu yang reput menjadi antara punca pokok tualang itu tumbang.
“Kejadian pokok tumbang pada waktu maghrib begitu mengejutkan kami dengan bunyi gema kuat didengari seluruh penduduk kampung meskipun ketika itu tiada hujan atau ribut.
“Walaupun kerap dilanda banjir besar sebelum ini pada 1926, 1970/1971 dan 2000, namun pokok tualang ini mampu meneruskan survivalnya.
“Namun hayatnya berakhir disebabkan kesan hakisan Sungai Wau dan perdu yang semakin mereput,” katanya semalam.
Menurut Mohd. Zurin, pokok tualang atau nama saintifiknya koompassia excelsa itu mempunyai ukur lilit sebesar lebih 20 pemeluk orang dewasa.
“Pokok tualang ini juga menjadi tempat selamat lebah bersarang dan bermain unggas serta burung seperti enggang, punai dan spesies lain singgah membuat sarang.
“Lebih menarik, sang lebah juga menjadikan pokok tualang ini sebagai sarang dan mengeluarkan sumber madu asli kepada penduduk.
“Penduduk mencadangkan pokok tualang tumbang ini dipotong untuk dijadikan monumen bagi tatapan generasi akan datang,” kata lelaki itu.
Sementara itu, penduduk kampung, Sanusi Bakar, 63, memberitahu, pokok tualang yang tumbuh di tanah nenek moyangnya menjadi mercu tanda kepada kampung tersebut sejak ratusan tahun dulu.
Katanya, ini kerana, ketika Sungai Pahang menjadi laluan utama penduduk, pokok tualang tersebut dijadikan ‘rumah api’ sebagai panduan perjalanan.














