PADA minggu lalu, peminat badminton di negara ini menyaksikan aksi luar biasa yang dipamerkan oleh para pemain muda negara di pentas Terbuka Indonesia.
Kejohanan yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta itu menyaksikan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun berjaya meraih gelaran naib juara selepas tunduk kepada beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada aksi final.
Selain kehebatan Wei Chong-Kai Wun, peminat badminton di Malaysia dan seluruh dunia turut terkesima melihat aski luar biasa yang ditampilkan oleh pemain perseorangan muda negara, Leong Jun Hao.
Pemain berusia 24 tahun itu berjaya ‘mendiamkan’ ribuan peminat di Istora Senayan selepas menundukan pemain tuan rumah yang juga pilihan ketiga kejohanan, Jonatan Christie.
Selepas mengenepikan cabaran Christie, pemain berasal dari Kuala Lumpur itu sekali lagi mencipta magis apabila berjaya menundukan pemain Chinese Taipei, Chau Tien-chen.
Sebelum itu, ketika Terbuka Singapura, Jun Hao berjaya menewaskan pemain harapan emas Indonesia di Olimpik 2024, Anthony Sinisuka Ginting.
Hasil pengamatan penulis, Jun Hao mempunyai kemampuan untuk mencipta sensasi dalam arena badminton dunia pada masa depan. Ini kerana, dia mempunyai kawalan gelanggang yang baik, smash tajam serta kelebihan permainan di depan jaring.
Bagi penulis, Jun Hao hanya perlu meningkatkan lagi stamina bagi memastikan dia kekal beraksi dengan penuh bertenaga sehingga ke pusingan suku akhir, separuh akhir dan akhir. Ketika ini, dia kerap terkandas pada pusingan kedua dan suku akhir.
Justeru itu, penulis berharap barisan kejurulatihan badminton negara dapat memberi tumpuan lebih pada Jun Hao bagi meningkatkan prestasinya terutamanya ketika ketiadaan pemain perseorangan utama, Ng Tze Yong akibat kecederaan.
Hakikatnya, aksi hebat yang dipamerkan Jun Hao ketika ini bukan satu kebetulan. Sebenarnya, dia telah menunjukkan kehebatan pada peringkat belia apabila muncul juara Kejohanan Remaja Asia pada 2017, selain naib juara Kejohanan Remaja Dunia pada tahun sama.
Malah, bekas jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek awal-awal lagi telah menyatakan keyakinan bahawa Jun Hao memiliki pakej lengkap untuk menjadi pemain hebat pada suatu hari nanti.
Sementara itu, bekas pemain badminton England, Ben Beckman dalam laman sosialnya menyatakan rasa tidak terkejut dengan aksi dipamerkan Jun Hao ketika ini.
Ujarnya, dia telah mengesan kehebatan pemain berketinggian 1.72 meter itu sejak 2017 lagi, namun disebabkan beberapa siri kecederaan perkembangannya sedikit terjejas.
Diharapkan, Jun Hao dapat mengikut jejak Datuk Lee Chong Wei yang berjaya meningkatkan prestasinya secara mendadak selepas usia 25 tahun.














