KUALA LUMPUR – Sasaran 400 transaksi e-pembayaran per kapita mampu dicapai lebih awal berbanding sasaran asal pada 2026 menerusi usaha yang dilakukan oleh bank digital, jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, terdapat peningkatan transaksi e-pembayaran sejak 2011, namun angkanya dilihat masih rendah dan menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menyebarkan manfaat penggunaan kemudahan tersebut kepada semua rakyat Malaysia.
“Ini bukan sasaran yang terlalu tinggi dan sukar untuk dicapai dan saya jangka kalau kita ada asakan lebih kuat, kita harus capai lebih awal.
“Bagi mencapai sasaran itu, usaha tersebut perlu mula dilaksanakan pada masa ini dengan gerakan bersungguh-sungguh,” katanya ketika berucap merasmikan bank digital, Boost Bank hari ini.
Anwar turut menyeru bank digital pertama negara itu menyediakan latihan dan program dalam membantu rakyat mencapai kecelikan digital.
“Ia dapat membantu memberi pencerahan lanjut tentang maksud sebenar digital yang memberi manfaat kepada semua, bukannya kepada golongan tertentu sahaja.
“Jangan anggap semua orang faham. Ramai rakyat Malaysia yang faham mengenai digital secara praktikal sahaja, bukan teorinya. Jadi kita perlu beri kecelikan tambahan kepada mereka,” tambahnya.
Beliau juga mahu laporan mengenai inisiatif Boost Bank dalam melaksanakan latihan kecelikan digital itu dibentangkan di kabinet dalam tempoh 6 bulan.
Ujarnya, Kerajaan menerusi Kementerian Digital akan menyediakan platform untuk membantu pengunaan bank digital dalam kalangan perusahaan sektor mikro, kecil dan sederhana menjadi celik digital. – KOSMO! ONLINE.














