KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan terpaksa melupakan segala keseronokan bersama rakan-rakan seusianya apabila dia perlu berkorban mencari rezeki di sebalik timbunan sampah sarap bagi menyara kehidupan keluarga.
Nur Ainul Mardhiah Zulkarnain, 14, merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kategori intelektual kini tinggal bersama ibu dan dua adiknya di sebuah rumah flat di Seksyen 2, Wangsa Maju di sini.
Rutin harian Nur Ainul adalah mencari tin kosong dan botol di tempat pembuangan sampah hampir setiap hari dan hasil daripada pekerjaan itu digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga.
“Kesihatan saya sebenarnya tidak begitu baik akibat penyakit sawan dan gangguan tidur, tetapi saya tiada pilihan lain memandangkan kesihatan ibu juga tidak mengizinkan.
“Sebagai anak paling tua dalam keluarga, saya perlu lakukan sesuatu dan kutip botol serta tin di kawasan rumah adalah cara untuk tampung belanja kami empat beranak,” katanya merupakan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sebuah sekolah di ibu negara.
Menurut remaja itu, dia mula mengutip botol, tin kosong serta kotak terpakai sejak sebulan lalu dan pekerjaan itu dilakukan pada hujung minggu atau cuti sekolah.
Jelasnya lagi, sekiranya keadaan kesihatannya mengizinkan, dia akan keluar mencari rezeki pada sebelah petang iaitu selepas selesai persekolahan pagi.
“Kalau tidak bersekolah, saya akan keluar seawal pukul 7 pagi, manakala sebelah petang pula ketika cuaca redup.
“Tin-tin kosong yang dikutip boleh dijual pada harga RM1.20 bagi setiap sekilogram dan kotak pula berharga 80 sen untuk sekilogram,” jelasnya.

Dalam pada itu, ibu remaja terbabit, Noraniza Abdul Wahab, 36, mengaku keluarganya menerima bantuan daripada beberapa pihak, namun tidak mencukupi untuk menampung keperluan mereka empat beranak.
Katanya, antara bantuan bulanan yang diterima adalah daripada Jabatan Kemajuan Malaysia (JKM) sebanyak RM450, Baitulmal (RM500) dan setiap seorang anak menerima RM1,800 yang dibayar dua kali setahun.
“Saya telah berpisah dengan suami sejak empat tahun lalu dan bagi menampung keperluan kami sekeluarga, Nur Ainul akan keluar mencari barang-barang terpakai untuk dijual.
“Dua lagi adiknya iaitu Ahmad Zikri Hakim Zulkarnain, 10, merupakan OKU fizikal selain menghidap penyakit jantung berlubang sejak kecil dan Nur Anis Shahmina Zulkarnain, 8, pula OKU bagi kategori autisme,” katanya.
Menurut Noraniza lagi, sebelum ini mereka sekeluarga tinggal di Dungun, Terengganu, tetapi memilih untuk berpindah ke Kuala Lumpur memandangkan Zikri perlu dibawa menjalani pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN) tiga bulan sekali.
“Duit bantuan daripada JKM dan Baitulmal cukup-cukup untuk membayar sewa rumah sebanyak RM800 sebulan, duit selebihnya saya gunakan untuk menampung kos tambang e-hailing untuk berulang-alik ke hospital memandangkan saya tiada pengangkutan.
“Kos pergi balik ke Hospital Kuala Lumpur mencecah sehingga RM80 setiap kali perjalanan dan dalam keadaan kami semua yang mempunyai masalah kesihatan, banyak kos yang perlu dibelanjakan,” katanya yang turut menghidap penyakit kencing manis dan sakit jantung.
Noraniza berkata, dia sebelum ini pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan, pekerja pembersihan di sebuah sekolah serta pembantu jualan air balang, namun terpaksa berhenti atas faktor kesihatan.
“Selepas itu, saya mula fokus membuat jualan nasi lemak sejak 2021, tetapi lain pula ujiannya apabila saya kerap ditipu pihak yang membuat pesanan.
“Lebih menyedihkan apabila ada jiran kata saya ibu yang pemalas dan tidak buat apa-apa, tetapi hakikatnya mereka tidak tahu keadaan saya. Malah, doktor juga sarankan untuk berehat di rumah dan berhenti melakukan kerja yang berat-berat,” jelasnya.
Menurut ibu tunggal itu, walaupun kehidupan keluarganya sangat susah, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak.
“Apa yang Nur Ainul lakukan (kutip tin kosong dan botol) adalah usahanya sendiri yang mahu meringankan beban kami sekeluarga. Itu saja pekerjaan yang mampu dia lakukan,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh memberikan sumbangan menerusi Bank Islam atas nama Noraniza Abdul Wahab (13044021060457).















