MASIH hijau di arena seni tanah air, tuah kian menyebelahi pelakon cantik Erysha Emyra apabila semakin menjadi sebutan impak fenomena deretan drama lakonannya.
Hadir dengan pakej raut wajah jelita seiring lakonan yang ‘kayu’ tentu mudah sahaja bagi pemilik nama lengkap Nur Erysha Emyra Zakaria itu mengumpul ramai peminat dalam tempoh singkat.
Hakikat sudah bergelar selebriti, mahu atau tidak, setiap gerak geri akan sentiasa dihakimi netizen yang pastinya rajin meninggalkan komen andai ada perkara tidak memuaskan hati.
Isu sedemikian terpaksa ditelan wanita berusia 25 tahun itu apabila watak ‘alim’ digalasnya dalam drama popular, Aku Bukan Ustazah dikecam kerana didakwa tidak selari dengan penampilan.

Berlapang dada
Tenang menghadapi segala tohmahan, pelakon kecil molek itu berlapang dada menerima segala kritikan selain mengakui tidak mampu mengawal reaksi penonton.
Pun begitu, Erysha berkata, segala mesej yang disampaikan dalam drama tersebut adalah kehidupan dan realiti sebenar dilalui masyarakat.
“Kalau kita ambil secara positif melalui drama dan watak tersebut, kita dapatlah mesej tentang kehidupan ini. Nak istiqamah bukan senang.
“Ada juga respons yang saya lihat dalam TikTok ramai mengaku diri mereka juga begitu, pada akhirnya kita semua manusia lemah.
“Saya sendiri pun bukannya baik sangat, mungkin ada hari iman kita naik dan begitulah sebaliknya,” katanya kepada HibGlam.
Sebelum ini, ada penonton mempertikaikan penampilan watak Aminah lakonan Erysha yang mengenakan tudung singkat.
Mengulas lanjut pertikaian tersebut, pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu menjelaskan ada sebab mengapa dia mengenakan tudung singkat.
Tambah Erysha, kebanyakan komen kritikan dilemparkan mereka yang tidak menonton drama berkenaan secara keseluruhan.
“Ada juga yang mempertikaikan saya yang bertudung labuh dalam drama itu tiba-tiba ada satu babak saya bertudung singkat.
“Sebenarnya itu adalah babak dalam rumah dan saya belum pun bersiap untuk keluar rumah.
“Saya rasa orang yang memberikan komen itu tidak menonton drama tersebut dan hanya melihat potongan video yang tular,” ujarnya panjang lebar.
Satu per satu perkara yang perlu dihadapi oleh Erysha sejak bergelar pelakon apatah lagi dirinya semakin dikenali.
Belum lagi dakwaan khalayak mengenai penglibatannya dalam industri hiburan atas pengaruh bonda tercinta, Noniswara Baharudin.

Populariti ibu
Akui Erysha, bukan mudah untuknya berdepan dengan pandangan tersebut, namun dia memilih untuk tidak membesarkan isu, hanya fokus perkara yang membawa kebaikan untuk kerjaya.
“Memang ada pihak yang menganggap saya mudah masuk industri sebab ibu saya pelakon. Saya tak boleh ubah pandangan mereka.
“Bagi yang mengikuti Instagram saya pastinya mereka tahu yang saya jarang berkongsi perihal keluarga di media sosial, apatah lagi mahu mencanang saya ini anak Noniswara.
“Saya kalau boleh nak elakkan orang menyangka saya tumpang populariti ibu sendiri tapi rasanya bukan isu pun jika saya memilih masuk dunia lakonan atas pertolongannya. Asalkan ada bakat dan kesungguhan,” tegasnya.
Hakikat diri dilahirkan daripada perut seorang pelakon, wujud pula perbandingan yang masyarakat timbulkan antara si anak dengan ibunya.
Kekal tenang, Erysha menganggap perbandingan juga lumrah yang perlu dihadapi anak seorang pelakon apabila mereka melangkah ke dalam kelompok bidang kerja sama.
“Memanglah akan ada rasa tertekan apabila si anak dibandingkan dengan ibunya. Tapi saya cuba untuk ambil perkara ini daripada sudut positif.
“Saya baru nak menapak, bermula pun agak perlahan. Banyak lagi perkara yang saya kena belajar. Berilah saya sedikit waktu,” ujarnya serius.

Hanya kawan
Kendatipun masih hijau dalam dunia lakonan, namun satu per satu kontroversi termasuk gosip percintaan yang memalit nama anak kedua daripada tiga bersaudara itu.
Kalau sebelum ini dikaitkan dengan aktor sensasi, Hun Huqeem, kali ini Erysha digosipkan dengan Meerqeen pula.
Lebih menguatkan spekulasi apabila mereka saling bekerjasama dalam drama Cinta Untuk Sekali Lagi, maka bertambah galak desas-desus mengatakan mereka menjalin cinta.
“Menjadi kebiasaan bagi pelakon yang belum berkahwin untuk saling dipadankan dengan pelakon lain. Perkara itu normal.
“Saya dengan Meerqeen memang akrab sebelum kami masuk set penggambaran lagi tapi cuma kawan baik, tidak bercinta seperti dianggap ramai. Hubungan kami okey,” tuturnya menoktahkan perbualan.















